Mahu tingkat gaya hidup punca rasuah dalam jurutera - MCW

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Tekanan untuk memenuhi keperluan dan keinginan meningkatkan gaya hidup antara faktor mendorong aktiviti rasuah dalam kalangan jurutera serta kontraktor.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) dalam satu kenyataan berkata, golongan berkenaan mempunyai persepsi bahawa rasuah merupakan cara biasa untuk mendapatkan keuntungan atau memperoleh projek.

Sehubungan itu, MCW menggesa pihak berkuasa untuk menguatkuasakan undang-undang dengan lebih tegas.

“Bukan itu sahaja, pemantauan dan audit yang lebih kerap perlu dilakukan terhadap urus niaga.

“Seterusnya, meningkatkan kesedaran dan pendidikan mengenai etika profesional serta tatalaku yang betul boleh diambil,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang menahan seorang jurutera kerana disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah kira-kira RM13,000 daripada kontraktor yang menjalankan kerja-kerja kontrak dengan sebuah jabatan di negeri itu.

Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada pertengahan tahun 2022 dan telah menggunakan wang itu untuk membeli sebuah meja snooker dan sebuah meja ping-pong yang ditempatkan di pejabatnya.

Mengulas lanjut mengenai langkah lain, MCW berkata, sistem pelaporan rasuah yang efektif perlu diperkenalkan untuk membolehkan individu melaporkan kesalahan tanpa rasa takut akan pembalasan.

Artikel Berkaitan:

Jelas kenyataan itu, pendekatan berkenaan penting untuk dilaksanakan bagi membina budaya organisasi yang bebas daripada rasuah.