Peranan radio penting promosi kepelbagaian, perkasa komuniti

Radio main peranan penting dalam memupuk dialog, promosikan kepelbagaian dan perkasakan komuniti di seluruh dunia bersesuaian dengan pematuhan terhadap ISO. Gambar kecil: Saral James Maniam
Radio main peranan penting dalam memupuk dialog, promosikan kepelbagaian dan perkasakan komuniti di seluruh dunia bersesuaian dengan pematuhan terhadap ISO. Gambar kecil: Saral James Maniam
A
A
A

SHAH ALAM - Radio memainkan peranan penting dalam memupuk dialog, mempromosikan kepelbagaian dan memperkasakan komuniti di seluruh dunia bersesuaian dengan pematuhan terhadap Pertubuhan Standard Antarabangsa (ISO).

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna-Pengguna Standards Malaysia, Saral James Maniam berkata, penggunaan standard itu membolehkan penyiar radio berinovasi dan menyesuaikan landskap media untuk memberi maklumat, hiburan serta inspirasi kepada pendengar.

“Standard MS ISO 9001 membantu mempromosikan kualiti penyiaran yang konsisten, meningkatkan kecekapan operasi, kepuasan pelanggan, pengurusan risiko, mendorong budaya penambahbaikan berterusan dan memastikan pematuhan peraturan.

“MS ISO/IEC 27001 pula penting untuk pengurusan keselamatan maklumat dengan melindungi data sensitif, memastikan integriti penyiaran, melindungi privasi pendengar, dan mengekalkan kesinambungan perniagaan.

“Manakala MS ISO 14001 dirujuk untuk pengurusan alam sekitar dengan meningkatkan kecekapan tenaga dan reputasi jenama, melaksanakan amalan pengurusan sisa berkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Saral, standard itu turut memainkan peranan penting bagi memastikan aksesibiliti kandungan radio kepada semua individu termasuk mereka yang tidak berkeupayaan.

Beliau berkata, ISO/IEC 40500 adalah standard yang direka untuk menjadikan kandungan digital seperti laman web dan platform dalam talian boleh diakses.

“Ia menyediakan rangka kerja untuk memastikan kandungan digital termasuk siaran radio yang diakses dalam talian oleh semua orang tanpa mengira keupayaan atau kekurangan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Selain teknikal, ISO juga menekankan standard etika dan profesional dalam penyiaran radio seperti MS ISO 37001 untuk memastikan stesen radio mengekalkan integriti dan ketelusan dalam operasi mereka,” ujarnya.

Menurut Saral, radio mempunyai sejarah sejak 1800-an menjadikan ia salah satu bentuk media yang paling boleh dipercayai dan banyak digunakan di seluruh dunia.

“Semasa sambutan Hari Radio Sedunia pada tahun ini, kita bukan sahaja merenung sejarah tentang radio tetapi perkembangannya yang berterusan dalam era digital.

“Dengan kemunculan podcast, perkhidmatan penstriman dan radio internet menyebabkan jangkauan radio berkembang pesat selain mencapai pendengar di setiap sudut,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!