Johor akan laksana khutbah Jumaat guna bahasa isyarat

Mohd Fared (dua dari kanan) menyampaikan anugerah murid cemerlang TAJ di Stadium Arena Kompleks Sukan EduCity, pada Khamis.
Mohd Fared (dua dari kanan) menyampaikan anugerah murid cemerlang TAJ di Stadium Arena Kompleks Sukan EduCity, pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor akan menambah kemudahan bagi golongan orang kurang upaya (OKU) di masjid dengan memperkenalkan jurubahasa isyarat bagi khutbah Jumaat.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pendekatan itu bagi membolehkan OKU pekak dan bisu memahami isi kandungan khutbah yang disampaikan.

"Pada peringkat awal ini, kita akan kenal pasti sebuah masjid di setiap 10 daerah negeri ini bagi diletakkan jurubahasa isyarat masjid khusus untuk solat Jumaat, mulai awal Ramadan ini.

Mohd Fared bergambar bersama murid dan guru TAJ di Stadium Arena Kompleks Sukan EduCity, pada Khamis.
Mohd Fared bergambar bersama murid dan guru TAJ di Stadium Arena Kompleks Sukan EduCity, pada Khamis.

"Jika tidak dapat diletakkan jurubahasa isyarat secara langsung pada setiap solat Jumaat, kita akan buat rakaman awal khutbah bahasa isyarat bagi ditayangkan pada solat Jumaat di masjid yang mempunyai kemudahan layar skrin putih dan televisyen pintar," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Khatam Al-Quran Tadika Agama Johor ke-13 di Stadium Arena Kompleks Sukan EduCity di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mohd Fared berkata, inisiatif kerajaan Johor meletakkan jurubahasa isyarat itu sebagai langkah tidak meminggirkan golongan OKU pekak dan bisu di negeri ini.

"Dalam masa terdekat percubaan akan dilakukan untuk kedua-dua kaedah ini agar ia bersesuaian untuk digunakan di masjid-masjid utama di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

"Kerjasama baik yang diberikan oleh persatuan, pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO) OKU membolehkan usaha dilakukan dan berjalan lancar setakat ini," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!