BHP, Hyatt Hotels Corporation bekerjasama urus Hyatt Place
PEMAJU terkemuka, Bangsar Heights Pavilion (BHP) bekerjasama dengan peneraju jenama hospitaliti global, Hyatt Hotels Corporation bagi menguruskan Hyatt Place yang terletak di Quayside Pusat Bandar Johor Bahru (JBCC).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aaron Yap berkata, ia bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan BHP sebagai peneraju dalam projek pembangunan inovatif.
"Kami percaya jalinan kerjasama ini akan menambah nilai kepada pemegang taruh antara kedua-dua syarikat tempatan dan antarabangsa.
"Disini, (Hyat Place JBCC) kami menyediakan 200 bilik tetamu yang luas dengan menawarkan kemudahan direka dengan teliti mengikut keperluan pengunjung dengan ruang khusus untuk bekerja, berehat dan bersantai," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Menandatangani Kerjasama antara Pavilion Bangsar Heights dan Hyatt Hotels Corporation pada Khamis.
Tambah Aaron Yap, Hyatt Place JBCC merupakan pusat sehenti yang mempunyai ruang membeli-belah, hotel, suite perkhidmatan dan 'sky bar' mewah dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM600 juta.
"Pengunjung yang menginap disini boleh menikmati makanan yang disediakan di 'The Breakfast Bar' atau menjamu selera dan minum di bar lobi serta restoran kasual dengan tawaran menu menarik.
"Kami turut menyediakan 'The Market' dengan pelbagai pilihan barangan berkonsepkan 'grab and go' yang beroperasi 24 jam setiap hari," katanya.
Tambah beliau, pengunjung juga boleh memanfaatkan program jenama 'Necessities' yang menawarkan rangkaian luas barangan keperluan.
"Pengunjung yang melancong atau menginap dengan tujuan bekerja tidak perlu risau kerana kita turut menyediakan ruang kerja selesa termasuk bilik mesyuarat.
"Di sini terdapat 482 suite perkhidmatan yang diuruskan oleh pengendali berjenama berprestij, 24 unit ruang runcit komersial dan 'sky bar' di atas bumbung serta sebuah restoran mewah," jelas beliau.
Sementara itu, Naib Presiden Serantau, Pembangunan Hyatt Hotels Corporation, Bastien Touzea berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan BHP sebagai usaha untuk memperkenalkan Hyatt Place JBCC kepada lebih ramai orang.
"Kerjasama ini mencerminkan pertumbuhan menarik jenama Hyatt Place di Asia Tenggara, dan menggariskan kedudukan Hyatt sebagai jenama hospitaliti global terkemuka dalam penginapan kelas atasan untuk pelancong perniagaan serta percutian di seluruh dunia.
"Kami juga berbangga untuk menawarkan tetamu dengan kemudahan penginapan yang selesa dan berasa seperti berada di rumah sendiri ketika melancong," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!