Tujuh pendatang asing ditahan di Labuan
LABUAN - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan menahan tujuh pendatang tanpa izin warganegara Filipina dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan pada Selasa lepas.
Pengarahnya, Raymond Entalai berkata, kesemua individu berusia empat hingga 37 tahun itu merupakan antara 38 individu diperiksa menerusi operasi bermula 10 pagi hingga 10.15 malam melibatkan kediaman, premis serta pusat hiburan.
"Kesemua 38 individu diperiksa terdiri daripada 13 lelaki dan 11 wanita warganegara Malaysia serta empat lelaki dan 10 wanita warganegara Filipina.
"Daripada jumlah itu, tujuh warganegara Filipina ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah, dan kesemuanya dibawa ke Depot Imigresen Labuan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan dilakukan susulan aduan awam berkaitan warga asing yang tinggal, bekerja dan berada di sini tanpa memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah serta tamat tempoh.
Menurut Raymond, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang diberikan dan akan menggiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!