JAIPk minta kariah surau bertenang, berlapang dada pindah

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

IPOH - Kariah Surau Al-Karamah, Kampung Seri Keramat dekat Pasir Puteh di sini diminta bertenang dan berlapang dada berhubung isu merobohkan surau.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, perkara itu tidak sewajarnya diperbesarkan kerana telah mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Fatwa negeri.

"Isu ini sepatutnya sudah selesai kerana sudah ada keputusan fatwa yang membenarkan surau itu dirobohkan dan diganti dengan surau baharu.

"Dalam kes ini, surau baharu telah pun siap dibangunkan dengan segala kelengkapan untuk kegunaan surau disediakan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk)," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Beliau berkata, JAIPk bersama agensi dan jabatan terlibat telah mengadakan beberapa pertemuan bersama penduduk sebelum ini bagi membincangkan isu tersebut.

Bagaimanapun katanya, kariah surau masih berkeras untuk tidak membenarkan kerja pengosongan dan meroboh surau dilaksanakan oleh pihak pemaju.

"Sepatutnya penduduk berlapang dada untuk pindah ke surau baru bagi mengelak krisis yang lebih besar.

"Saya dimaklumkan, pemaju telah pun mengambil tindakan undang-undang bagi menyelesaikan isu ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian melaporkan, proses awal kerja-kerja meroboh dan mengosongkan Surau Al-Karamah pada Khamis tegang apabila lebih 100 penduduk melakukan bantahan secara besar-besaran.

Mereka yang berkumpul sejak jam 9 pagi bertindak sedemikian bertujuan menghalang pihak pemaju mengambil alih tapak surau tersebut bagi tujuan pembangunan.

Keadaan itu mengakibatkan suasana kecoh dengan pertikaman lidah dan kata kecaman daripada penduduk yang tidak berpuas hati tindakan pemaju.

Pada April 2021 lalu, Sinar Harian melaporkan Jawatankuasa Surau Al-Karamah memohon campur tangan MAIPk, Menteri Besar serta Pejabat Tanah dan Galian Perak untuk menghalang tindakan merobohkan surau itu bagi memberi laluan kepada projek perumahan.

Bantahan itu kemudiannya mendapat perhatian Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang memberi perkenan agar surau tersebut tidak dirobohkan sehingga surau baharu siap dibina.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!