[VIDEO] Pemuda Amanah NS, Johor tetap lapor polis terhadap Dd Chronicle
KUALA PILAH - [DIKEMAS KINI] Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan dan Johor tetap membuat laporan polis terhadap pempengaruh media sosial, Dd Chronicle berhubung video parodinya walaupun dia telah membuat permohonan maaf.
Ketua Pemuda Amanah Negeri Sembilan, Mohd Hanis Alimin berkata, laporan itu dibuat pada Khamis pada jam 3.16 petang di Balai Polis Melang di sini berkait satu video yang didakwa mempersendakan keputusan mahkamah dalam isu enakmen syariah.
Katanya, video berdurasi 3 minit 55 saat itu telah dipadam, namun tindakan meneruskan laporan polis itu bagi memberi pengajaran kepada semua pihak termasuk mana-mana pempengaruh dalam membuat sebarang kandungan di media sosial.
"Beliau menggunakan contoh kes arak, judi dan liwat telah terbatal dan rakyat Malaysia boleh buat perkara-perkara berikut tanpa mendapat apa-apa hukuman.
"Ini jelas mengelirukan, memesongkan fakta serta berniat untuk mempersendakan proses penghakiman yang dilakukan oleh badan perundangan negara," katanya.
Katanya, laporan itu juga bertujuan meminta pihak polis menjalankan siasatan ke atas pempengaruh itu di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15), Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi (kandungan menghina) dan Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 559).
Amanah Johor turut buat laporan polis
Sementara itu di Johor, sebanyak 10 laporan polis dibuat Pemuda Amanah Johor terhadap pempengaruh media sosial itu.
Pengerah Komunikasi Amanah Johor, Razak Ismail berkata, laporan polis itu dibuat di setiap daerah dengan pembahagian tiga zon iaitu Muar, Batu Pahat dan Iskandar Puteri.
Jelasnya, laporan itu dibuat pada Khamis jam 5 petang itu berhubung satu video yang didakwa mempersendakan keputusan mahkamah dalam isu enakmen syariah.
"Laporan polis tetap dibuat walaupun pempengaruh itu sudah memohon maaf dan video berdurasi 3 minit 55 saat itu telah dipadam.
"Tindakan meneruskan laporan polis itu bagi memberi pengajaran terhadap pempengaruh media sosial agar berhati-hati dalam membuat sebarang kandungan," katanya ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada Khamis.
Dalam pada itu, Razak meminta pihak polis menjalankan siasatan ke atas pempengaruh itu di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15), Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi (kandungan menghina) dan Seksyen 7 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 559).
"Beliau menggunakan contoh kes arak, judi dan liwat telah terbatal dan rakyat Malaysia boleh buat perkara-perkara berikut tanpa mendapat apa-apa hukuman.
"Ini jelas mengelirukan, memesongkan fakta serta berniat untuk mempersendakan proses penghakiman yang dilakukan oleh badan perundangan negara," katanya.
Media sebelum ini melaporkan video berkenaan telah mendapat perhatian warganet dan mereka meminta pihak berkuasa untuk mengenakan tindakan terhadap lelaki tersebut kerana sudah melampaui batas.
Susulan itu, Dd Chronicle atau namanya Dediy Sulaeman Ra’e tampil memohon maaf terhadap perbuatannya dan menjelaskan tindakan tersebut tidak mempunyai niat untuk menghasut mana-mana pihak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!