'Jinjing' akhirnya selamat turun dari bumbung rumah pangsa

JBPM berjaya memujuk seorang lelaki dipercayai kurang siuman turun dari bumbung sebuah bangunan rumah pangsa empat tingkat, hari ini. Foto Bernama
JBPM berjaya memujuk seorang lelaki dipercayai kurang siuman turun dari bumbung sebuah bangunan rumah pangsa empat tingkat, hari ini. Foto Bernama
A
A
A

SANDAKAN - Selepas lebih dua hari, seorang lelaki dipercayai kurang siuman akhirnya termakan pujuk lalu turun dari bumbung sebuah bangunan rumah pangsa empat tingkat di sini hari ini, dengan bantuan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurut kenyataan JBPM Sabah, lelaki berumur 39 tahun dikenali dengan panggilan "Jinjing" yang memanjat bangunan itu pada malam Isnin lepas, diselamatkan sepasukan bomba dan penyelamat kira-kira 2 petang tadi.

"Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Duchess of Kent menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut. Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan pada 2.08 petang," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, dalam kejadian 8.45 malam Isnin, ahli keluarga lelaki terbabit memujuknya untuk turun, namun tidak diendahkan sehingga mereka membuat panggilan kecemasan ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan pada 10.58 malam untuk meminta bantuan.

Sejurus itu, sepasukan anggota dari BBP Sandakan dan Ibu Pejabat Polis Daerah bergegas ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan lelaki itu dan memujuknya agar turun dari bangunan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pasukan penyelamat telah merancang dan merangka kaedah terbaik untuk menyelamatkan Jinjing, namun kaedah pujukan tanpa putus asa akhirnya membuahkan hasil.

"Selama tiga hari (bermula Isnin), sesi memujuk dijalankan hinggalah ke hari ini kerana bimbangkan keselamatan mangsa sendiri (Jinjing) yang berada di atas (bumbung).

"Usaha memujuk melibatkan kerjasama pasukan bomba, polis serta pihak hospital," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Abdul Fuad turut berterima kasih kepada orang awam di sekitar perumahan itu atas kerjasama terhadap pasukan penyelamat serta mematuhi semua arahan bagi melancarkan operasi menyelamat.

"Alhamdulillah, tidak ada sebarang kecederaan dan tidak ada sebarang kejadian tidak diingini berlaku pada mangsa, mahupun orang awam dan pihak penyelamat," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!