Jokowi minta bukti dakwaan penipuan dalam pilihan raya
JAKARTA - Presiden Joko Widodo yang menjawab kebimbangan mengenai dakwaan penipuan dalam pilihan raya, menekankan mengenai pentingnya dakwaan sedemikian disertakan bukti.
Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi berkata, penempatan saksi untuk semua calon presiden, naib presiden dan legislatif, selain parti politik, di pusat pengundian yang diawasi Badan Pengawas Pilihan Raya (Bawaslu) bertujuan untuk menjamin ketelusan dalam proses pilihan raya.
Jokowi yang yakin dengan keberkesanan sistem penyeliaan bagi menghalang penipuan berkata, kaedah sedia ada adalah untuk menangani aduan yang sah melalui Bawaslu dan Mahkamah Perlembagaan.
"Di pusat mengundi, pihak berkuasa sentiasa bersedia, memastikan proses itu telus dan terbuka kepada dokumentasi," katanya kepada media sebagai mengulas mengenai dakwaan awal berlaku penipuan dalam pilihan raya.
Arsjad Rasjid yang mengetuai pasukan pilihan raya untuk calon presiden, Ganjar Pranowo dan calon naib presidennya, Mahfud Md, mendedahkan bahawa pasukannya telah mengesan berlaku anomali (penyimpangan peraturan) dalam Pemilu dan pasukan undang-undang mereka sedang menjalankan siasatan.
Dalam Pemilu 2024 pada 14 Februari, Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto dilaporkan mendahului apabila pengiraan awal menunjukkan beliau memperoleh lebih 50 peratus undi.
Menurut Litbang Kompas, dengan 95.45 peratus undi contoh dikira, Prabowo memperoleh 58.52 peratus undi manakala Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo masing-masing meraih 25.25 peratus dan 16.23 peratus.
Data Poltracking juga menunjukkan Prabowo mendahului dengan 59.35 peratus, diikuti Anies 24.37 peratus dan Ganjar 16.28 peratus, berdasarkan 95.67 peratus undi sampel yang dikira.
Walaupun angka ini tidak rasmi, keputusan itu dijangka selari dengan keputusan akhir yang akan diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya pada 20 Mac. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!