'Harga Beras Malaysia Madani mahal, mana suara menteri?' - Radzi Jidin
SHAH ALAM - Bekas Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menyindir menteri Kerajaan Perpaduan berhubung isu pengenalan Beras Putih Malaysia Madani.
Jelas Ahli Parlimen Putrajaya itu, suara menteri seolah-olah 'hilang' selepas umum mengetahui bahawa terdapat kenaikan harga susulan pengenalan jenama beras berkenaan.
"Kerajaan celaru: MP Bukit Gantang umum beras tempatan tukar nama jadi Madani. Harga lebih mahal. Mana menteri? Senyap sunyi, ini perkara dasar yang besar! " katanya ringkas menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Khamis.
Terdahulu, kerajaan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa berkaitan isu menangani harga makanan dan kos sara hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, penetapan harga siling baru bagi beras berkenaan akan berkuatkuasa 19 Februari dan akan berada di pasaran bermula 1 Mac.
Menurut Syed Abu Hussin, dalam tempoh 10 hari itu kerajaan memberi peluang kepada pemain industri beras untuk membuat penyelarasan dari segi pembungkusan dan juga pemasaran.
Susulan itu, penetapan harga siling tunggal untuk Beras Putih Malaysia Madani turut melibatkan beras 10 kilogram berharga RM30, lima kilogram pada harga RM15.50 dan satu kilogram RM3.50.
Untuk rekod harga siling beras putih tempatan sekarang bagi beras 10 kilogram berharga RM26, lima kilogram RM13 dan satu kilogram RM2.60.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!