Pelancaran Dendeng Nyet Berapi: Khairul Aming pecah empat rekod

Khairul Aming mencatatkan sejarah apabila produk makanan Dendeng Nyet Berapi berjaya mencatat angka jualan RM1 juta dalam tempoh 3 minit 39 saat awal Februari lalu.
Khairul Aming mencatatkan sejarah apabila produk makanan Dendeng Nyet Berapi berjaya mencatat angka jualan RM1 juta dalam tempoh 3 minit 39 saat awal Februari lalu.
A
A
A

PEMPENGARUH terkenal, Khairul Aming mendedahkan bahawa produk terbaharunya iaitu Dendeng Nyet Berapi berjaya memecahkan empat rekod baharu.

Jelasnya, selepas usai jualan dilakukan, 'post mortem' yang dilakukannya mendapati Dendeng Nyet Berapi berjaya menjadi produk yang paling banyak memecahkan rekod di TikTok Shop Malaysia.

"Pada majlis pelancaran itu, ada empat rekod yang kita pecahkan termasuk jualan RM1 juta terpantas, iaitu selama tiga minit tiga puluh sembilan saat, kedua kita dapat 'peak views' tertinggi di Malaysia iaitu seramai 222, 800 dalam satu-satu masa.

"Rekod ketiga kita dapat tontonan keseluruhan tertinggi iaitu seramai 3.4 juta dan rekod keempat kita dapat 'clickthrough rate' (CTR) tertinggi iaitu lebih daripada 400 peratus dan keempat-empat rekod ini adalah tertinggi dalam sejarah TikTok Shop Malaysia sehingga ke hari ini," katanya menerusi satu hantaran di aplikasi TikToknya pada Khamis.

Tambahnya, rekod yang dipecahkannya itu juga merupakan rekod terbaik peribadi kerana sebelum ini beliau mengambil masa selama tiga bulan untuk mendapatkan jualan sebanyak RM1 juta bagi penjualan Sambal Nyet Berapi.

"Untuk dendeng ini Alhamdulillah kita dapat dalam masa tiga minit lebih dan malam itu juga kita dapat maklum balas yang baik daripada orang ramai mengenai tema pelancaran menggunakan layar berwarna hitam yang memudahkan orang ramai untuk membaca tulisan dan sebagainya," katanya

Katanya, daripada 80,000 dendeng yang dijual malam itu, kerosakan yang berlaku hanyalah pada kadar 0.01 peratus dan ia sudah diganti baharu.

"Kita juga menerima maklum balas yang positif, ramai juga yang memberi lima bintang cuma ada yang mahukan tahap kemanisannya dikurangkan manakala tahap kepedasan ditambah selain tidak mahu tekstur daging yang jenis mudah terlerai, dan ada juga yang mahukan bungkusan ziplock.

Artikel Berkaitan:

"Maka saya sudah terima maklum balas ini dan akan ada penambahbaikan kelak," katanya.

Pada 29 Januari lalu, Khairul Aming mendedahkan beliau mengeluarkan produk terbaharu yang akan melengkapi Sambal Nyet Berapi.

Beliau memaklumkan, Dendeng Nyet Berapi mengambil masa selama setahun untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan memerlukan modal sebanyak RM2 juta bagi persiapan mesin serta pengubahsuaian kilang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!