Beras Madani dijual lebih rendah April ini
PUTRAJAYA - Harga beras putih tunggal yang akan menggantikan kategori beras putih tempatan dan import, Beras Putih Malaysia Madani berkemungkinan dijual lebih rendah pada April depan.
Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, ia berikutan negara pengeluar beras dijangka tidak lagi mengenakan sekatan sepenuhnya terhadap pengimportan beras putih.
“Mereka (pengeluar beras) akan benarkan pengeksportan beras putih,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Ujar beliau, NACCOL sedia mencari jalan sekiranya harga beras import meningkat pada masa akan datang.
“Kita akan fikirkan lagi (jalan penyelesaian),” jelasnya.
Menurut Syed Abu Hussin, Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga RM30 bagi setiap 10 kilogram (kg) mulai 1 Mac depan merupakan salah satu usaha kerajaan mengurangkan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.
“Sekarang ini harga beras import pun sudah meningkat, jadi ini adalah formula kita,” jelas beliau.
Pada Julai tahun lalu, India dilapor melarang eksport beras putih bukan basmati untuk mengekang kenaikan harga beras dalam pasaran domestik.
Negara itu merupakan pengeksport beras terbesar dan menyumbang lebih 40 peratus bekalan beras global.
Beras bukan basmati kerap dieksport ke negara-negara rantau Asia dan Afrika.
Mengulas mengenai jaminan kualiti beras putih tunggal itu, beliau berkata, ia di bawah tanggungjawab pihak Kawalselia Padi dan Beras.
“Beras Putih Malaysia Madani ini merupakan beras sedia ada di pasaran yang telah dijamin kualiti,” katanya.
Syed Abu Hussin pada Rabu mengumumkan Beras Putih Malaysia Madani bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini.
Turut diumumkan, penetapan harga siling baharu untuk Beras Putih Malaysia Madani yang bermula Isnin depan melibatkan lima kilogram pada harga RM15.50 dan satu kilogram RM3.50 selain beras 10kg RM30.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!