AS bingung, Israel semakin tidak terkawal
GENTING GAZA - Pemimpin Australia, Kanada dan New Zealand pada Khamis memberi amaran kepada Israel tentang operasi darat di bahagian paling selatan Genting Gaza yang berpotensi menjadi malapetaka dahsyat.
Trio negara Komanwel itu bertindak mengeluarkan kenyataan bersama yang jarang berlaku bagi menzahirkan kerisauan terhadap kempen pengeboman ganas rejim Zionis yang semakin tidak terkawal.
“Kira-kira 1.5 juta penduduk Palestin bersama keluarga masing-masing berlindung di kawasan kecil itu. Tindakan memperluas operasi ketenteraan hanya akan memburukkan lagi keadaan kerana mereka tiada lagi tempat mahu dituju.
“Kami menggesa rejim Tel Aviv tidak mengambil ‘jalan berbahaya’ itu,” tegas ketiga-tiga negara sekutu Amerika Syarikat (AS) itu.
Desakan komuniti antarabangsa semakin meningkat selepas angka kekejaman rejim Zionis melepasi 28,000 orang.
Malah, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semakin gila mahu membunuh penduduk Palestin di bawah perang genosid yang kini memasuki bulan kelima.
Pemimpin ekstremis itu dengan angkuh menyatakan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) akan melancarkan operasi ‘besar’ di Rafah setelah bandar bersempadan Mesir tersebut terus dihujani bom sejak akhir minggu lalu.
Sebelum ini, banyak pihak melihat Israel sebagai ‘boneka’ AS, namun ia seakan-akan semakin hilang kawalan dan enggan lagi mengikut telunjuk Washington.
Pada Isnin, jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby dengan yakin menyatakan mereka akan terus menyokong operasi ketenteraan Israel.
Namun, pendirian Kirby itu berubah beberapa hari kemudian ketika disoal tentang apa tindakan Washington jika rejim Tel Aviv meneruskan kempen pencerobohan di Rafah tanpa memikirkan keselamatan orang awam.
“Saya enggan terlibat dalam permainan hipotesis,” katanya.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller juga mendedahkan Israel seperti ‘ikut kepala sendiri’ dan tidak lagi mengikut arahan AS.
“Rejim Tel Aviv tidak lagi buat seperti apa yang kami suruh atau arahkan tetapi kami tidak akan membiarkan perkara itu dan akan terus campur tangan,” ujarnya.
Ketika ini terdapat kebimbangan jika AS terus menghentam sekutunya secara terbuka akan menyebabkan Netanyahu bertindak lebih kejam dan mengarahkan kempen ketenteraan lebih agresif ke atas Genting Gaza demi mencapai matlamat jahat untuk menghapuskan Hamas di wilayah berkenaan.
Main wayang lagi
Bagi meredakan kemarahan ramai kerana menyokong perang genosid Israel, Presiden AS, Joe Biden secara tiba-tiba mengumumkan akan melindungi penduduk Palestin yang berada di AS.
Rumah Putih pada Rabu mengumumkan penduduk Palestin tidak akan dideportasi dan ‘perlindungan’ itu akan diberikan selama 18 bulan, kononnya setelah menilai konflik berterusan dan keperluan kemanusiaan yang semakin mendesak di wilayah bergolak tersebut.
Lapor The New York Times, keputusan itu akan diguna pakai ke atas kira-kira 6,000 penduduk Palestin di bawah undang-undang yang membenarkan golongan tersebut menetap di Washington jika tanah air mereka dilanda krisis.
AS cuba bermain wayang baharu kerana bimbang sokongan Biden mungkin terjejas, sekali gus menyukarkan beliau untuk mengekalkan jawatannya pada Pilihan Raya Presiden yang berlangsung pada November depan.
“Saya tetap fokus untuk memulihkan situasi kemanusiaan di Gaza berikutan ramai orang awam yang terus terdedah bahaya.
“Oleh itu, saya mengarahkan langkah penangguhan untuk menghantar pulang penduduk Palestin tertentu yang tinggal di AS,” ujar pemimpin Parti Demokrat tersebut.
Pada Rabu, Washington turut menegur rejim Tel Aviv yang merupakan sekutu rapatnya atas tindakan merobohkan rumah milik aktivis Palestin di Baitulmaqdis Timur.
Kecaman luar biasa AS terhadap Israel itu dibuat beberapa jam selepas insiden perobohan kediaman Fakhri Abu Diab, 38, di Kota Lama tersebut.
“Kami tiada lagi tempat tinggal dan terpaksa meminta bantuan jiran serta orang yang lalu lalang. Kami telah menjadi gelandangan akibat perbuatan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis,” kata Fakhri dalam nada kesal.
Dalam pada itu, menurut Miller, AS sememangnya mengutuk perbuatan Israel dan akan memastikan sekutunya tidak melakukan tindakan sama ke atas kediaman lain.
“Mangsa merupakan pemimpin komuniti yang bersuara lantang menentang kempen perobohan kediaman penduduk Palestin.
“Tindakan mereka ternyata menjejaskan usaha mengekalkan keamanan dan keselamatan yang turut memberi manfaat kepada Israel,” jelasnya sambil menambah rejim Tel Aviv terus merosakkan ‘reputasi’ sendiri di tengah-tengah kutukan antarabangsa yang semakin meningkat. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!