Peluang pelajar, remaja belajar main golf

Fadzli (tengah) mencuba beraksi di lapangan padang golf Raub ketika sesi meninjau di lapangan itu pada Khamis. Foto FB Fadzli Kamal
Fadzli (tengah) mencuba beraksi di lapangan padang golf Raub ketika sesi meninjau di lapangan itu pada Khamis. Foto FB Fadzli Kamal
A
A
A

RAUB - Dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain golf di negeri ini, Kerajaan Pahang menubuhkan Akademi Golf Pahang Barat di Raub dengan menjadikan Padang Golf Raub sebagai lapangan buat mereka.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal memberitahu, peluang terbuka buat pelajar sekolah dan remaja yang berusia 5 hingga 21 tahun dari Pahang Barat khususnya daerah Raub, Bentong, Lipis dan Cameron Highlands.

Menurutnya, mereka digalakkan mendaftar untuk menyertai program di bawah kelolaan Majlis Sukan Pahang (MSP) dalam misi melahirkan lebih ramai pemain professional di negeri ini.

"Melalui program ini, peserta akan diberikan bimbingan oleh jurulatih mengenai Kursus Asas Golf, Peraturan dan Etika Permainan sebelum dibenarkan berlatih di padang.

"Selain itu, Akademi Golf ini juga memberikan latihan dalam cabang lain bidang golf meliputi kursus caddy dan penyelenggaraan padang," katanya lagi.

Beliau berkata sedemikian selepas meninjau ke tapak pembangunan Padang Golf Raub dan Pelancaran Program Golf Remaja Daerah Raub di Kelab Golf Raub, di sini pada Khamis.

Fadzli (Kiri) ketika meninjau padang golf Raub pada Khamis. Foto FB Fadzli Kamal
Fadzli (Kiri) ketika meninjau padang golf Raub pada Khamis. Foto FB Fadzli Kamal

"Buat masa ini, padang golf Raub sedang giat dibaik pulih dan akan dibuka kepada umum dalam masa terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Padang golf Raub ini dikenali sebagai AgroGolf atau “Golf dalam Kebun” kerana keunikan di sekelilingnya yang dilengkapi pokok buah-buahan khususnya durian musang king dan Black Thorn, manggis, mangga dan nangka menjadikan ia yang pertama seumpamanya di negara ini," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu syarikat Galaxy AeroSpace turut bersetuju menyumbang peralatan untuk pelajar dan remaja yang terpilih menyertai Akademi Golf ini.

"Justeru itu kerajaan negeri turut mengalu-alukan pelbagai pihak yang ingin bekerjasama dan menaja Akademi Golf Pahang Barat bagi melahirkan pemain golf profesional," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!