Wanita hilangkan diri selepas tinggalkan bayi usia 3 hari
JOHOR BAHRU - Seorang wanita dipercayai warganegara Indonesia meninggalkan bayi perempuan berusia tiga hari kepada rakan senegaranya di Kampung Wadi Hana di sini pada 5 Januari lalu sebelum menghilangkan diri.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru, Norhafizah Ahmad berkata, bayi berkenaan ditinggalkan ibunya yang tidak diketahui identitinya kepada seorang wanita warga Indonesia, Isan Nidin.
"Ibu kepada bayi tersebut meninggalkan bayi yang dinamakan sebagai Anindya dengan alasan mahu mencari kerja. Kejadian berlaku di sebuah rumah beralamat 19, Jalan Mohd Taib Kampung Wadi Hana pada 5 Januari lalu.
"Isan yang menerima Anindya mendakwa ibu kepada bayi berkenaan pada mulanya meminta kebenaran untuk meninggalkan anaknya itu selama dua hari.
"Wanita itu menyatakan ibu Anindya memberi alasan perlu mencari kerja dan dia terpaksa menerimanya kerana ibu bayi tersebut merayu kepadanya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, Isan mendakwa pada 7 Januari lalu keadaan tubuh Anindya menjadi kebiruan sebelum membawanya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.
Pada masa sama katanya, wanita berkenaan berusaha mencari ibu Anindya namun gagal sebelum memaklumkan perkara itu kepada Pejabat Konsulat Jenderal Republik Indonesia di bandar raya ini.
Norhafizah berkata, pihak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru menghubungi wakil konsulat bagi memaklumkan perkara terbabit.
Katanya, pada 18 Januari JKM turut menghantar surat kepada pihak konsulat untuk mendapatkan maklum balas berkenaan perkara tersebut bagi memastikan kesejahteraan dan masa depan Anindya.
Pada 22 Januari pula katanya, pihak JKM bersama-sama dua wakil konsulat ke HSA untuk melihat sendiri keadaan Anindya dan mendapatinya dalam keadaan sihat.
Beliau berkata, pihak konsulat masih tidak dapat mengenal pasti latar belakang Anindya sehingga kini.
"Walaupun Isan mengesyaki ibu bayi merupakan wanita Indonesia menerusi perbualannya ketika ditemui, namun perkara itu tidak dapat dijadikan bukti yang kukuh atas pengesahan kewarganegaraan bayi itu.
"Berdasarkan hasil siasatan yang dilaksanakan pihak konsulat, bayi itu tidak boleh disahkan sebagai warganegara Indonesia seperti dalam maklum balas surat rujukan daripada konsulat bertarikh 23 Januari 2024," katanya.
Tambah Nurhafizah, pihak konsulat menyerahkan dokumen, penjagaan dan penempatan Anindya kepada pihak JKM Daerah Johor Bahru.
"Diharap ibu bayi berkenaan tampil ke pejabat JKM bagi membincangkan masa depannya," kataya dan orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan ibu Anindya boleh menghubungi talian 07-2232606.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!