Majlis media jamin kompetensi, kebebasan media
JAKARTA - Penubuhan majlis media dapat membantu dalam merealisasikan pembangunan kompetensi kewartawanan dan kebebasan syarikat akhbar.
Ahli Dewan Pers Indonesia, Tri Agung Kristanto berkata, ia juga dapat memastikan pengamalnya terus berpegang dan mengekalkan etika yang sepatutnya.
"Media sebenarnya mewakili suara masyarakat dan bertanggungjawab kepada orang ramai.
"Sebagaimana di Indonesia, Dewan Pers bertanggungjawab ke atas beberapa bidang utama. Ia termasuk latihan pendidikan dan pembangunan kompetensi; menyediakan panduan berkaitan syarikat media serta melindungi wartawan dan syarikat media," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan delegasi Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) Malaysia.
Seramai 15 wartawan daripada pelbagai agensi berita Malaysia menyertai Program Jejak Serumpun di Jakarta bermula 12 hingga 21 Februari depan, sempena Pilihan Raya Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 dan Hari Pers Nasional (HPN) Indonesia 2024, yang akan berlangsung pada 20 Februari ini.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Wartawan Indonesia (PWI), Sayid Iskandarsyah berkata, perlu ada kemahuan politik untuk merealisasikan penubuhan majlis media.
"Majlis media dibentuk kerana undang-undang. Adakah kerajaan Malaysia bersedia untuk melindungi kebebasan media?
"Persatuan media Malaysia juga mesti bersatu dan membentuk persatuan utama yang kemudiannya akan memperkasakan majlis media," jelasnya.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Teo Nie Ching semasa di Dewan Rakyat pada 15 November tahun lalu memaklumkan, Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada Mac 2024.
Jelasnya, Majlis Media Malaysia diwujudkan supaya pengamal media di negara ini boleh mengawal diri mereka sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!