Bersatu dijangka pinda perlembagaan parti pada Perhimpunan Agung Khas

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 2 Mac ini.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 2 Mac ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 2 Mac ini.

Perhimpunan itu dijangka meminda perlembagaan parti susulan tindakan enam ahli Parlimen parti itu menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangannya, Datuk Razali Idris berkongsi surat maklumat mengenai Perhimpunan Agung Khas itu melalui laman Facebook, pada Khamis.

"Insya-ALLAH maka tamatlah riwayat (enam ahli Parlimen sokong PM), mudah-mudahan Bersatu kembali bangkit dan terus mara," katanya.

Mengikut surat pemakluman itu, Perhimpunan Agung Khas itu akan diadakan selama dua jam bermula jam 3 petang di Pusat Konvensyen Ideal IDCC, Shah Alam.

Surat yang bertarikh 13 Februari itu turut ditandatangani Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

"Bersesuaian dengan Fasal 12.5.1 Perlembagaan parti, maka Perhimpunan Agung Khas Bersatu akan diadakan pada tarikh, masa dan tempat seperti ketetapan berikut.

“Sehubungan dengan itu, diharapkan semua perwakilan dapat hadir demi menjalankan tanggungjawab sebagai ahli parti," menurut surat itu.

Artikel Berkaitan:

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pada 29 Januari lalu, Hamzah berkata, Bersatu memutuskan meminda Perkara 10 dalam perlembagaan parti bagi menghalang insiden sama berulang, selain sedia berdepan PRK jika berlaku pengosongan kerusi wakil rakyatnya yang diambil tindakan. - Awani

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!