Usaha perkenal Beras Putih Malaysia Madani diharap bukan retorik - Exco

Ariffin, Laporan Sinar Harian
Ariffin, Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Usaha kerajaan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani diharap bukan sekadar retorik semata-mata sebaliknya mencapai objektif bagi meringankan bebanan rakyat.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, kewujudan bekalan bagi kategori tunggal beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara itu dilihat dapat menyelesaikan isu yang membelenggu rakyat ketika ini.

Menurutnya, kerajaan juga wajar mempertimbangkan untuk meningkatkan lagi subsidi Beras Putih Malaysia Madani memandangkan ia adalah makanan ruji rakyat di negara ini.

"Sudah tentunya kita berharap agar ia bukan sesuatu yang retorik dan langkah ini dapat menyelesaikan masalah kekurangan beras putih tempatan yang sedang dialami rakyat ketika ini.

"Isu ini berlaku disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pengeluar yang mencampurkan beras putih dengan beras import supaya dapat menjualnya pada harga lebih tinggi.

"Jadi kita harap Beras Putih Malaysia Madani itu akan menjadi penyelesaian kepada masalah yang ada dan diberi subsidi lebih tinggi oleh kerajaan," katanya ketika diminta mengulas mengenai langkah kerajaan untuk memperkenalkan beras berkenaan.

Ariffin sebelum itu merasmikan pembukaan cawangan sebuah kedai percetakan yang dimiliki usahawan tempatan, di sini pada Khamis.

Rabu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan kategori tunggal bagi beras putih untuk menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih itu pada kadar RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg).

Beliau berkata, penetapan harga siling baharu bagi beras berkenaan akan berkuatkuasa pada 19 Februari ini dan ia dijangka akan berada di pasaran bermula 1 Mac.

Sehubungan itu katanya, pemain industri beras diberi tempoh untuk mengubah pelabelan dan pembungkusan kampit beras untuk disesuaikan dengan ketetapan baharu itu sehingga 1 Mac ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!