Warga asing jadikan Bukit Bintang pusat sindiket penipuan Forex diserbu

Ramli menunjukkan antara peralatan dirampas susulan serbuan di sebuah premis dekat Jalan Bukit Bintang, 6 Februari lalu.
Ramli menunjukkan antara peralatan dirampas susulan serbuan di sebuah premis dekat Jalan Bukit Bintang, 6 Februari lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket penipuan pelaburan dalam talian didalangi warga asing dan tempatan dilumpuhkan dengan tangkapan seramai 49 individu susulan serbuan di sebuah premis di Jalan Bukit Bintang, 6 Februari lalu.

Sindiket yang dipercayai bergiat aktif sejak enam bulan lalu itu terlibat dengan penipuan pelaburan Forex yang menyasarkan rakyat Perancis, Ukraine, United Kingdom dan Switzerland.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tangkapan dijalankan melibatkan dua warga tempatan dan 48 lagi warga Cameroon, Congo, TunisiaArmenia, Senegal, Haiti, Djibouti, Madagascar, Chad dan beberapa negara lain yang terdiri daripada 31 lelaki 18 wanita itu berumur antara 20 hingga 41 tahun.

Beliau berkata, siasatan mendapati kegiatan dijalankan sindiket ini adalah menghantar pesanan ringkas secara rawak menerusi aplikasi telegram dan laman sesawang RIACAPITAL.

"Semakan mendapati kaedah ini turut mengandungi pautan iklan pelaburan dalam talian yang bertujuan memancing mangsa menggunakan dua aplikasi khas.

"Mangsa yang kemudiannya terpedaya dan menyatakan minat untuk menyertai akan diberikan tunjuk ajar sebelum melabur dalam skim yang ditawarkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sini pada Jumaat.

Katanya, siasatan mendapati dua warga tempatan yang ditahan bertindak sebagai penggerak sindiket ini.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua warga tempatan ini berperanan sebagai fasilitator atau membantu menggerakkan sindiket berkenaan.

"Sementara itu, semakan terdapat warga asing yang ditahan didapati pas lawatan tamat tempoh dan ada yang menyalahgunakan pas pelajar," katanya.

Menurutnya, operasi sama turut merampas 47 set komputer, 49 telefon bimbit, enam komputer riba dan dua televisyen.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

"Seorang wanita warga asing dan dua warga tempatan telah dibebaskan pada 8 dan 10 Februari lalu manakala baki yang lain masih ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!