Tambang RM5 sehala JB Sentral-Woodlands mulai 1 Ogos

Orang ramai kini berpeluang menikmati tambang keretapi serendah RM5.
Orang ramai kini berpeluang menikmati tambang keretapi serendah RM5.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mulai 1 Ogos depan, warganegara Malaysia bakal menikmati tambang serendah RM5 apabila menggunakan perkhidmatan tren Shuttle Tebrau bagi perjalanan sehala dari JB Sentral ke Woodlands, Singapura dan sebaliknya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani HIsham Samsudin, pelarasan semula kadar tambang itu bakal memberikan manfaat kepada kira-kira 40,000 rakyat negara ini yang bergantung kepada mod perkhidmatan keretapi untuk berulang-alik dari JB Sentral dan Woodlands apabila tidak perlu lagi membayar tambang berharga SGD5 dari Woodlands.

Katanya, jualan tiket akan mula dibuka pada 29 Februari 2024 (Khamis) ini kepada orang ramai.

“Pelarasan tambang baharu perkhidmatan Shuttle Tebrau bagi sehala dari JB Sentral ke Woodlands adalah RM5 manakala pembelian perjalanan sehala dari Woodlands ke Johor Bahru berharga SGD5 dan ia tertakluk kepada warga negara Malaysia atau bukan warganegara Malaysia.

“Bagi perjalanan pergi balik, JB Sentral-Woodlands-JB Sental pula adalah RM10 (RM5 RM5) bagi warganegara Malaysia dan bukan warganegara adalah RM22.50 (berdasarkan kepada tukaran semasa matawang asing dan ketika ini RM3.50 adalah bersamaan dengan SGD1).

“Bagi perjalanan pergi balik dari Woodlands-JB Sentral-Woodlands pula melibatkan tambang RM10 (RM5 RM5)bagi warganegara Malaysia dan bagi bukan warganegara Malaysia SGD10.00 (SGD5 SGD5),” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Sementara itu Mohd Rani berkata, rakyat Malaysia yang mahu menikmati keistimewaan ini, mereka perlu mendaftar akaun di aplikasi KTMB Mobile (KITS) dan membuat pengesahan kad pengenalan terlebih dahulu di kiosk tiket (TVM) atau kaunter tiket di seluruh rangkaian KTMB.

Katanya, pihak KTMB juga membuka kaunter tambahan di JB Sentral bagi memastikan kelancaran pengesahan kad pengenalan yang dilaksanakan dari 19 Februari sehingga 1 Mac 2024.

Artikel Berkaitan:

“Pengesahan kad pengenalan ini adalah sebagai langkah keselamatan bagi mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan tambang warganegara.

“Para pengguna juga dinasihatkan untuk mendaftar akaun KITS dan mod pembayaran tiket boleh dilakukan secara melalui KTM Wallet, E-wallet Touch & Go, E-wallet Boost, kad debit dan kad kredit,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di talian 03-2267 1200 atau mendapatkan maklum balas segera melalui Messenger Facebook rasmi KTMB.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!