Mati dibunuh kerana hutang RM2,500

Gambar hiasan - Foto 123RF. Gambar kecil: Ahmad Sukarno
Gambar hiasan - Foto 123RF. Gambar kecil: Ahmad Sukarno
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akibat hutang RM2,500, seorang lelaki warga Myanmar dibunuh rakannya dalam kejadian di Kepong, di sini Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, laporan kematian mangsa diterima Balai Polis Kepong pada jam 4 pagi daripada pegawai perubatan sebuah hospital swasta.

Katanya, kejadian dilaporkan berlaku semasa mangsa dan empat rakan sedang minum arak di kawasan gelanggang bola keranjang sebelum berlaku salah faham.

"Mangsa telah ditikam di bahagian leher menggunakan serpihan botol arak oleh salah seorang suspek.

"Kejadian dipercayai berpunca kerana mangsa berusia 24 tahun yang bekerja sebagai tukang masak di Banting, Selangor itu berhutang dengan suspek," ujarnya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, mangsa kemudian telah dikejarkan ke hospital oleh rakan yang lain sebelum menghilangkan diri.

Tambahnya, bertindak hasil maklumat, sepasukan anggota D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur melaksanakan dua serbuan pada jam 11 pagi, hari yang sama di Bandar Manjalara dan Cheras, Kuala Lumpur.

"Empat lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 20-an yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri berjaya diberkas.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek telah direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!