TH tawar perlindungan takaful berganda TH Khairat

TH menawarkan perlindungan takaful berganda TH Khairat.
TH menawarkan perlindungan takaful berganda TH Khairat.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) menawarkan peluang kepada pendeposit untuk mendapatkan perlindungan takaful berganda TH Khairat dengan manfaat kewangan sehingga RM24,000.

Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata, tawaran menerusi dua sijil perlindungan TH Khairat itu, mendapat sambutan menggalakkan daripada pendeposit dengan lebih 73 ribu pendaftaran direkodkan dalam enam bulan sejak dilancarkan pada 31 Julai tahun lalu.

Ujar Mohamed Ameen, pendeposit boleh membuat pendaftaran serta langganan TH Khairat dengan memilih kedua-dua pengendali Takaful iaitu Syarikat Takaful Malaysia Berhad (STMB) dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLM Takaful).

“TH menyambut baik maklum balas pelanggan yang berhasrat untuk mendaftar TH Khairat dengan kedua-dua pengendali Takaful.

“Alhamdulillah, dengan persetujuan dan kesepakatan bersama pengendali Takaful, pendeposit kini boleh mendaftar dengan kedua-dua pengendali Takaful dan penerima manfaat boleh menuntut manfaat kewangan RM12,000 daripada kedua-duanya menjadikan jumlah perlindungan yang layak diterima sebanyak RM24,000,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, menurut beliau, pendeposit hanya perlu menyumbang RM56 setahun dan penerima manfaat layak membuat tuntutan dengan jumlah keseluruhan RM24,000 iaitu RM12,000 daripada STMB manakala HLM Takaful sebanyak RM12,000.

Jelasnya, dengan mengekalkan langganan tahunan serendah RM28 bagi setiap perlindungan, manfaat kewangan yang ditawarkan adalah sebanyak RM12,000 daripada setiap pengendali Takaful kepada penerima manfaat.

“TH akan terus komited dan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik dengan meningkatkan kualiti perkhidmatan sedia ada dan memperkenalkan perkhidmatan baharu yang memberi manfaat kepada pendeposit pada masa akan datang,” menurutnya.

Artikel Berkaitan:

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai perkhidmatan berkenaan, layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.