Tabung Kasih@HAWANA sampaikan sumbangan kepada Hakim
KLANG - Tabung Kasih@HAWANA meneruskan peranannya dalam membantu komuniti media termasuk petugas belakang tabir melalui penyampaian sumbangan kepada Eksekutif Juruteknik Penyiaran Bernama TV, Hakim Mohd Zainudin yang menghidap tumor otak tahap empat.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua Pengarang yang menjalankan tugas dan tanggungjawab Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nur-ul Afida Kamaludin dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Bernama, Arul Rajoo Durar Raj di kediamannya di Bandar Bukit Raja, di sini.
Turut hadir, Ketua Bernama TV yang juga juga Sekretariat HAWANA, Nor Hamzeela Md Hambali.
Hakim, 51, berkata, dia disahkan menghidap penyakit tersebut pada Disember tahun lepas setelah sembuh daripada kanser limfoma di bahagian leher, dan kini berhadapan kesukaran untuk berjalan serta terpaksa menggunakan kerusi roda.
"Saya berasa terharu dan berbesar hati dengan kedatangan kawan-kawan hari ini untuk menyampaikan sumbangan dan sangat menghargainya serta mengucapkan terima kasih,” katanya kepada Bernama, di sini pada Jumaat.
Hakim adalah individu ke-36 menerima manfaat Tabung Kasih @HAWANA sejak inisiatif itu diperkenalkan pada April tahun lepas, yang diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.
Inisiatif Kementerian Komunikasi itu dilaksanakan menerusi Bernama bagi menyantuni wartawan dan petugas media masih dalam perkhidmatan atau telah bersara, yang mengalami keuzuran atau memerlukan bantuan.
Sementara itu, Nur-ul Afida berkata, Bernama selaku urus setia Tabung Kasih @HAWANA akan meneruskan usaha menyantuni mereka yang terkesan akibat masalah kesihatan dan kehilangan punca pendapatan.
"Kita akan membantu sedaya yang boleh dan saya berharap peruntukan daripada kerajaan ini dapat dimanfaatkan oleh mereka. Kami juga mendoakan agar mereka dapat menjalani kehidupan dengan sebaik-baiknya melalui bantuan ini,” katanya.
Nor Hamzeela berkata, susulan daripada kesan penyakit dihadapi, Hakim telah dinasihatkan oleh doktor untuk mengambil pencen ilat.
"Ini adalah sumbangan yang ke-36 oleh Tabung Kasih @HAWANA dan saya bagi pihak Bernama TV mengucapkan terima kasih atas keprihatinan yang diberikan kepada petugas kami,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!