[VIDEO] KPF digesa tunai janji pembayaran dividen, jualan saham awal Mac ini
KUALA LUMPUR - Koperasi Permodelan Felda Malaysia Berhad (KPF) digesa untuk menunaikan janji berkaitan pembayaran jualan saham dan pengeluaran dividen pada akhir Februari hingga awal Mac ini.
Ketua Ahli KPF, Mohamad Rosli Waakob mendakwa, isu tersebut telah berlarutan sejak Julai 2023, namun masih tiada sebarang jalan penyelesaian dilakukan.
"Situasi ini sangat mengecewakan apabila anggota KPF terpaksa menunggu masa yang begitu lama untuk mendapatkan wang mereka.
"Para pelabur (anggota) kini terbeban dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup dan ada yang terpaksa meminjam serta berhutang sementara menunggu wang jualan saham mereka dilunaskan oleh pihak KPF," katanya ketika sidang akhbar pada Jumaat.
Tambah beliau, pelbagai aduan dan rungutan telah dibuat kepada kakitangan KPF terutama petugas di bahagian kaunter hadapan mengenai masalah berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, tiada jawapan yang memuas dan menyakinkan diterima daripada pihak berkenaan.
"Perkhidmatan talian telefon dan aplikasi WhatsApp yang disediakan oleh pihak KPF juga sangat mengecewakan kerana panggilan tidak dijawab dan aduan menerusi WhatsApp mengambil masa berbulan untuk dibalas.
"Sehingga kini pihak pengurusan tertinggi KPF bagaikan mengambil sikap membisu dan gagal mengambil langkah proaktif untuk mengatasi kebimbangan anggota," jelasnya.
Dalam pada itu, seorang ahli KPF, Nazari Mokhtar berkata, sebarang tindakan berkesan termasuk mempertimbangkan keperluan untuk mencairkan aset yang dikhabarkan berbilion ringgit perlu dilakukan supaya dapat mengembalikan wang mereka.
Justeru, beliau menegaskan Ketua Pegawai Eksekutif KPF dan ahli lembaga ditukar sekiranya ia merupakan langkah terbaik untuk menyelesaikan kemelut yang melanda jabatan berkenaan.
"Kami juga menggesa campur tangan daripada pihak Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Ewon Benedict bagi meneliti serta menyelesaikan kemelut yang tidak berkesudahan.
"Sekiranya keadaan begini berterusan, kami bimbang lebih ramai pelabur akan hilang kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap koperasi ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!