Kebocoran gas ammonia: 10 pekerja kilang dikejarkan ke hospital
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seramai 10 pekerja dikejarkan ke hospital selepas terhidu gas ammonia yang bocor dalam kejadian di sebuah kilang di Jalan Keluli 1 Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Seksyen 7, di sini pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11.15 pagi.
Beliau berkata, jarak ke lokasi kejadian adalah 7.2 kilometer dari balai bomba berhampiran.
"Kekuatan keanggotaan JBPM yang terlibat dalam operasi ini adalah lima pegawai kanan dan 10 anggota bomba lain-lain pangkat.
"Kejadian melibatkan kebocoran gas ammonia daripada injap tangki penyimpanan gas ammonia," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, kejadian melibatkan lapan wanita dan dua lelaki yang mengalami kesan sampingan akibat terhidu gas ammonia tersebut.
Katanya, kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Shah Alam bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
Tambahnya, anggota bomba terlibat telah mengarahkan semua penghuni premis melakukan evakuasi ke tempat yang selamat.
"Kerja-kerja bagi menutup injap bocor dilakukan oleh Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Selangor bagi memastikan tiada lagi terdapat kebocoran.
"Untuk maklumat lanjut dan pengesahan kejadian, semua pihak boleh merujuk kepada Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Negeri Selangor," ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!