Pemilik syarikat kitar semula, barang lusuh didenda RM1,000
KUALA LANGAT - Seorang pemilik syarikat kitar semula dan barangan lusuh didenda RM1,000 atau penjara selama sebulan oleh Mahkamah Majistret Telok Datok, di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan, menjual barangan lusuh tanpa lesen.
Majistret, Khairul Farhi Yusob menjatuhi tertuduh lelaki berusia lewat 20-an ini, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Dia yang dikenakan waran tangkap pada 17 Januari lalu, didakwa menjual barangan lusuh tanpa lesen daripada Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) di Banting, Kuala Langat, Selangor.
Lelaki itu selaku orang kena saman (OKS), yang hadir tanpa diwakili peguam, dituduh bawah Undang Undang Kecil (UUK) 3, Pelesenan Tred dan Perindustrian MPKL 2007.
Pendakwaan dalam kes tersebut dikendalikan Pegawai Pendakwa Kanan, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Hasrizal Abd Rahim dan Pegawai Pendakwa, Ahmad Razali Abd Manaf.
Sementara itu, menerusi kenyataan media, pihak MPKL menasihati syarikat atau individu yang menjalankan sebarang perniagaan supaya mendapatkan lesen perniagaan yang sah daripada MPKL.
Katanya, ia dapat mengelak mereka daripada dikenakan tindakan undang-undang.
MPKL juga mengingatkan masyarakat supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan sebelum melakukan aktiviti perniagaan di daerah ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!