Ekonomi negara meningkat tiga peratus suku keempat 2023 - BNM

Pertumbuhan Malaysia dijangka bertambah baik pada tahun ini susulan faktor perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan pemulihan permintaan luaran. Gambar hiasan
Pertumbuhan Malaysia dijangka bertambah baik pada tahun ini susulan faktor perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan pemulihan permintaan luaran. Gambar hiasan
A
A
A

EKONOMI negara dilaporkan meningkat pada suku keempat tahun 2023 dengan mencatatkan pertambahan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak tiga peratus.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan berkata, dari segi kadar pertumbuhan bulanan KDNK, bulan Disember mencatatkan kadar pertumbuhan sebanyak 1.4 peratus, iaitu lebih rendah berbanding November (3.8 peratus) dan Oktober (3.9 peratus).

Menurut kenyataan itu, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada pertumbuhan tersebut termasuk tempoh cuti sekolah yang lebih pendek dan sektor perkilangan berorientasikan eksport yang lebih lemah.

“Perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan tekanan kos yang mereda.

“Kadar pengangguran menurun ke paras sebelum pandemik Covid-19 iaitu 3.3 peratus manakala kadar penyertaan tenaga kerja mencapai paras tertinggi pada tahun 2023.

“Sementara itu, pertumbuhan dalam aktiviti pelaburan disokong oleh pelaksanaan projek jangka masa panjang yang progresif dan pengembangan kapasiti oleh syarikat,” kata kenyataan itu pada Jumaat.

Bank pusat itu berkata, pertumbuhan Malaysia dijangka bertambah baik pada tahun ini susulan faktor perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan pemulihan permintaan luaran.

“Dari segi faktor luaran, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan perdagangan global kembali meningkat daripada 0.4 peratus pada tahun 2023 kepada 3.3 peratus pada tahun 2024.

Artikel Berkaitan:

“Bersama-sama dengan peningkatan kitaran teknologi, permintaan luaran yang lebih kukuh dan sektor pelancongan yang terus bertambah baik akan memberikan sokongan kepada eksport Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, BNM berkata, inflasi keseluruhan dan teras telah menurun disebabkan oleh tekanan kos lebih rendah berikutan keadaan permintaan yang semakin stabil.

“Pada tahun 2024, inflasi dijangka kekal sederhana, mencerminkan secara amnya keadaan kos dan permintaan yang stabil.

“Walau bagaimanapun, prospek inflasi terus sangat dipengaruhi oleh perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global.

“BNM akan menerbitkan Laporan Tahunan 2023, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 serta Tinjauan Kestabilan Kewangan untuk Separuh Kedua 2023 pada 20 Mac 2024,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!