Menyamar pelbagai jawatan perdaya mangsa sertai pelaburan kripto

Sejumlah 135 laporan polis diterima berkait skim penipuan ini dengan nilai kerugian keseluruhan RM93,260,687.33 sehingga 14 Februari lalu. Gambar kecil: Ramli
Sejumlah 135 laporan polis diterima berkait skim penipuan ini dengan nilai kerugian keseluruhan RM93,260,687.33 sehingga 14 Februari lalu. Gambar kecil: Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taktik menyamar sebagai pengarah, pemilik serta setiausaha sebuah syarikat antara digunakan sindiket penipuan pelaburan kripto terbongkar menerusi tangkapan seramai 43 individu dalam operasi di beberapa negeri bermula pada 7 sehingga 9 Februari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua suspek ditahan terdiri daripada 35 lelaki dan lapan wanita berumur lingkungan 21 hingga 78 tahun.

"Sejumlah 135 laporan polis diterima berkait skim penipuan ini dengan nilai kerugian keseluruhan RM93,260,687.33 sehingga 14 Februari lalu.

"Susulan itu, JSJK kemudiannya menjalankan beberapa siri operasi di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak dalam usaha menumpaskan kegiatan sindiket terbabit," katanya menerusi sidang akhbar Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada Jumaat.

Katanya, siasatan mendapati skim penipuan pelaburan ini telah memperdaya ramai mangsa sehingga mengakibatkan jumlah kerugian yang sangat besar.

"Berdasarkan siasatan, skim pelaburan ini mempromosikan pelaburan yang didakwa berasaskan mata wang kripto dengan mengiklankannya menerusi Facebook.

"Mangsa yang berminat kemudiannya diperdaya untuk menyertai grup Whats App pelaburan berkenaan sebelum diminta mendaftar di laman sesawang untuk meneruskan pelaburan," katanya.

Menurutnya, kesemua suspek dipercayai berperanan dalam memegang pelbagai jawatan dalam syarikat untuk mengaburi mangsa.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua siri serbuan dijalankan turut merampas 28 unit telefon bimbit, 14 set dokumen dan sekeping cek.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Tegasnya, orang ramai yang ingin menyertai skim pelaburan hendaklah membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak terlibat.

"Semakan boleh dilakukan melibatkan antaranya Bank Negara Malaysia, pihak Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau Unit Cryptocurrency Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (03-26101139).

"Ini bagi mendapatkan nasihat serta maklumat status sesebuah syarikat yang menawarkan pelaburan selain untuk mengesahkan kesahihan pelaburan yang ditawarkan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!