Gaza: Bekalan elektrik terputus, tiga pesakit di Hospital Nasser meninggal dunia

Pentadbiran Hospital Nasser di Khan Yunis menggesa semua institusi antarabangsa segera campur tangan untuk menyelamatkan mereka yang berada di kompleks perubatan berkenaan. Foto AFP
Pentadbiran Hospital Nasser di Khan Yunis menggesa semua institusi antarabangsa segera campur tangan untuk menyelamatkan mereka yang berada di kompleks perubatan berkenaan. Foto AFP
A
A
A

KHAN YUNIS (Gaza) - Tiga pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Nasser di Khan Yunis, selatan Gaza, meninggal dunia pagi Jumaat akibat gangguan bekalan elektrik di tengah-tengah pengepungan berterusan Israel ke atas hospital itu, menurut sumber perubatan.

Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan mengenai keadaan menyedihkan di hospital itu dengan dua wanita terpaksa bersalin dalam keadaan serba kekurangan akibat kekurangan kemudahan penting seperti elektrik, air, makanan dan alat pemanas.

Sumber itu berkata, bahan api semakin berkurang dan sekatan Israel menimbulkan ancaman kepada nyawa pesakit dan kanak-kanak di kompleks hospital itu.

Pentadbiran hospital menggesa semua institusi antarabangsa segera campur tangan untuk menyelamatkan mereka yang berada di kompleks perubatan berkenaan.

Terdahulu pada Khamis, tentera pendudukan Israel memaksa pentadbiran Kompleks Perubatan Nasser supaya memindahkan semula 95 profesional penjagaan kesihatan, 11 keluarga, 191 pesakit dan 165 penjaga pesakit bangunan lama Nasser Building.

Serangan Israel di Gaza telah membunuh lebih daripada 28,000 orang dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran serta kekurangan barangan keperluan. - Bernama-Wafa

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!