Op Selamat 2024 capai matlamat, banyak penurunan direkodkan

Mohd Azman (tiga dari kiri) bersama pemenang anugerah sempena majlis penganugerahan kontinjen dan daerah terbaik Op Selamat Tahun Baharu Cina 21 di Pulapol pada Jumaat. - FOTO SINAR HARIAN/ HISYAMUDDIN AYUB
Mohd Azman (tiga dari kiri) bersama pemenang anugerah sempena majlis penganugerahan kontinjen dan daerah terbaik Op Selamat Tahun Baharu Cina 21 di Pulapol pada Jumaat. - FOTO SINAR HARIAN/ HISYAMUDDIN AYUB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Op Selamat Tahun Baharu Cina 21 yang berakhir Selasa mencatat penurunan jumlah kenderaan terlibat dalam kemalangan berbanding operasi sama pada tahun sebelumnya.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, jumlah penurunan yang dicatatkan dalam operasi kali ini adalah sebanyak 1,699 buah atau 14 peratus kepada 10,715 buah kenderaan, berbanding 12,414 pada 2023.

Menurutnya, pecahan kenderaan terlibat dalam kemalangan yang mencatat peratusan tertinggi adalah kereta sebanyak 7,586 buah.

Tambahnya, jumlah kedua tertinggi melibatkan motosikal sebanyak 1,397 buah dan kenderaan pacuan empat roda berjumlah 825 buah.

"Bagi jumlah kemalangan, ia juga mencatat penurunan sebanyak 906 kes atau 10 peratus kepada 8,501 pada kali ini, berbanding 9,407 kes pada tahun sebelumnya.

"Kes kemalangan maut juga menunjukkan penurunan dengan merekodkan 86 kes iaitu penurunan sebanyak satu kes berbanding tahun 2023," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sempena majlis penganugerahan kontinjen dan daerah terbaik Op Selamat Tahun Baru Cina 21 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), dekat sini.

Mengulas lanjut, Mohd Azman berkata, jumlah kematian juga mencatatkan rekod penurunan sebanyak sembilan orang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 91 orang.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kes cedera parah mencatat penurunan sebanyak 40 kes, berbanding 52 kes pada tahun sebelumnya manakala kes kemalangan ringan yang direkodkan adalah 426 kes, menurun sebanyak 131 kes pada 2023.

Dalam pada itu, Mohd Azman berkata, penunggang dan pembonceng motosikal mencatat kematian tertinggi iaitu 67 kematian bersamaan 74 peratus daripada keseluruhan jumlah kematian.

Jelas beliau, jumlah tersebut mencatat peningkatan sebanyak 11 peratus kematian daripada 56 kematian pada 2023.

"Sebanyak 201,840 saman telah dikeluarkan pada Op Selamat kali ini, berbanding 103,114 pada tahun lalu.

"Peningkatan jumlah saman ini menunjukkan tahap kesedaran pengguna jalan raya tentang peraturan dan undang-undang lalu lintas masih rendah," ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!