KDN adakan sesi libat urus perjelas keperluan pinda POCA

Saifuddin Nasution Ismail (kanan) bercakap pada sidang media selepas lawatan kerja Menteri ke Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras pada Jumaat. Foto Bernama
Saifuddin Nasution Ismail (kanan) bercakap pada sidang media selepas lawatan kerja Menteri ke Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan sesi libat urus dengan semua ahli Parlimen berkenaan cadangan pindaan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sesi libat urus bersama semua pemegang taruh termasuk ahli Parlimen akan dilakukan dengan kerap bagi memutuskan pindaan itu.

Menurutnya, semua pemegang taruh harus diterangkan dengan keperluan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan semula Akta POCA untuk mengawal jenayah.

“Pertama, KDN dan polis sekarang bersedia untuk mengadakan sesi libat urus menunjukkan bagaimana keterbukaan yang kita buat melibatkan pelbagai pihak, melibatkan pelbagai pemegang taruh termasuk dalam perkara-perkara menambah baik POCA.

“Kedua, kita fokus terus kepada isu yang perlu dibincang iaitu daripada hal keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Seksyen 4 dan Seksyen 15 akta itu sebagai tidak berperlembagaan," katanya ketika sidang akhbar selepas melawat kuarters Pasukan Gerakan Am (PGA) di sini pada Jumaat.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Mahkamah Persekutuan berpendapat perkataan ‘shall’ dalam seksyen tersebut sebagai mengambil kuasa mahkamah, dalam perkara memutuskan tentang perintah reman.

"Polisi kita bukan tutup pintu, polisi kita sedar perlu mendengar daripada semua pihak, itu yang kita buat," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, akibat keputusan Mahkamah Persekutuan itu, PDRM sebagai agensi penguatkuasa undang-undang tidak boleh melaksanakan Akta POCA.

“Maka kita tengok apa akibatnya apabila tidak boleh guna pakai POCA, adakah menyumbang kepada trend jenayah yang meningkat?.

”Pada sesi libat urus itu, jawapannya adalah ya (trend jenayah meningkat), kita ada kekangan itu, ada kekurangan terutama trend jenayah yang bersifat seperti scam, online gambling.. ini polemik yang dah lama,” katanya.

Justeru ujar beliau, pada sesi libat urus itu akan melibatkan seberapa ramai ahli Parlimen dan ahli Dewan Rakyat.

"Sebab akhir sekali kita perlu membuat penerangan yang tepat kepada mereka sebelum kita ke arah melakukan pindaan.

“Kita perlukan lebih lagi libat urus dengan fokus group, iaitu ahli-ahli parlimen dengan lebih kerap, sebab mereka yang akhir nanti akan buat keputusan (melakukan pindaan),” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan Seksyen 4 dan 15B POCA ditafsirkan sebagai bercanggah dengan Perkara 121 dan 4(1) Perlembagaan atas sebab merampas kuasa semakan kehakiman mahkamah.

Sesi libat urus kelmarin (Rabu) turut dihadiri antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Delegasi KDN diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, manakala delegasi PDRM diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!