Tawar RM1,600 per tan metrik belian padi kepada pesawah
KUALA PILAH - Kerajaan Negeri Sembilan melalui syarikat yang dilantik menawarkan harga belian padi di negeri ini pada kadar RM1,600 per tan metrik bagi pengeluaran beras pertama negeri ini.
Bagaimana pun 20 peratus penolakan berlaku sekiranya terdapat padi yang rosak, padi muda atau tidak cukup masak, wap basah serta padi yang terdapat kekotoran.
Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, harga berkenaan cukup baik dan berharap semua pesawah dapat mengambil tanggungjawab kenegerian bagi memastikan bekalan padi di negeri ini mencukupi.
"Kita ada 80 pesawah di seluruh negeri ini yang mana jangkaan hasil tuaian pertama nanti akan melibatkan 58 hektar sawah dari Skim Londah Tampin dan 100 hektar lagi di Kuala Pilah bergantung kepada cuaca, mesin dan logistik.
"Penanaman padi di negeri ini secara keseluruhannya ada 750 hektar dan ia akan ditambah lagi. Saya sudah bawa dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan untuk semua pihak dan jabatan berkaitan bekerjasama memastikan usaha pengeluaran beras negeri dapat direalisasikan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau penghantaran pertama hasil tuaian padi ke Pusat Pengumpulan Padi Negeri Sembilan, di Pusat Mekanisasi Peladang dekat sini pada Jumaat.
Jalaluddin yang juga Exco kanan negeri berkata, kerajaan negeri akan memastikan kualiti padi dipertingkatkan dari masa ke semasa untuk memenuhi keperluan beras rakyat di negeri ini.
"Saya berpendapat kualiti padi di negeri ini boleh dipertingkatkan lagi dengan mengenal pasti benih lebih baik, baja dan penjagaan lebih bersistematik," katanya menambah usaha itu dapat meningkatkan pengeluaran sehingga enam tan metrik padi per hektar.
Beliau berkata, produk beras jenama negeri ini dijangka berada di pasaran pada tahun ini dengan harga RM26 bagi 10 kilogram namun ia bergantung kepada kadar semasa ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai harga jualan beras jenama Negeri Sembilan yang akan dipasarkan nanti sama ada mengikut harga Beras Madani, beliau berkata, ia akan melihat perkembangan semasa dari kerajaan Persekutuan.
"Buat masa ini, di Negeri Sembilan masih kekalkan harga beras putih tempatan RM26 untuk 10 kilogram yang ditetapkan pihak kerajaan.
"Bagaimanapun, ia bergantung kepada pihak kerajaan mengekalkan beras tempatan RM26 atau membuat sedikit kenaikan seperti yang telah diuar-uarkan dua tiga hari ini... tetapi belum ada keputusan jelas tentang kenaikan harga," katanya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!