20 pos PGA di Selangor siap dinaik taraf

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) melihat keadaan kawasan perumahan kuarters Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika lawatan kerja Menteri ke Briged Tengah PGA Cheras pada Jumaat. Foto Bernama
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) melihat keadaan kawasan perumahan kuarters Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika lawatan kerja Menteri ke Briged Tengah PGA Cheras pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 20 pos Pasukan Gerakan Am (PGA) di sepanjang 337 kilometer pesisiran pantai Selangor telah siap dinaik taraf sepenuhnya memgikut peruntukan kerajaan berjumlah RM45 juta.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penekanan kementeriannya adalah menaik taraf serta menambah baik beberapa kemudahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti pos PGA dan kuarters kediaman.

Menurutnya, 20 pos termasuk satu markas taktikal ini sangat penting untuk menyekat dan awasi sebarang ancaman.

"Ini termasuklah penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI), barangan kontraban, dadah dan segala macam ancaman,” katanya.

"Terdapat 151 pos PGA seluruh negara di mana 20 pos PGA yang mengawasi perairan Selangor telah disiapkan sepenuhnya," katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan di kuarters Pasukan Gerakan Am Briged Tengah di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Tambah Saifuddin, tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan RM45 juta untuk menaik taraf pos PGA dan hampir semua siap ikut jadual.

Ujarnya, tempoh pembinaan mengambil masa satu sehingga tiga bulan selain kualiti pembinaan juga sangat baik.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin berkata, aspek ini sangat penting untuk tingkatkan kualiti pasukan dan anggota juga lahirkan rasa gembira dan syukur kerana penambahbaikan ini sudah lama ditunggu.

Tambahnya, KDN turut menerima peruntukan RM200 juta tahun ini untuk menaik taraf kemudahan beberapa unit kuarters kediaman PGA.

“Dua unit yang asalnya bersebelahan, kita buka dan jadikan sebagai satu unit yang lebih luas selain cat baharu, wiring yang dibaik pulih, kabinet dapur serta bilik air.

"Jangkaan kesemua kuarters kediaman siap adalah pada suku kedua tahun ini," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!