'Jangan serang Rafah'

Penduduk Gaza mendirikan khemah untuk berlindung di kawasan berhampiran pagar bersempadan Mesir kerana tiada lagi tempat mahu dituju. Foto AFP
Penduduk Gaza mendirikan khemah untuk berlindung di kawasan berhampiran pagar bersempadan Mesir kerana tiada lagi tempat mahu dituju. Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat sekali lagi mendesak sekutu kuatnya, Israel supaya menghentikan rancangan gila untuk melancarkan serangan berskala besar ke atas bandar Rafah di mana hampir 1.5 juta penduduk Palestin sedang terperangkap.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan angkuh dan tiada perikemanusiaan menegaskan beliau akan tetap meneruskan operasi di bandar paling selatan Genting Gaza tersebut atas alasan mahu menghapuskan Hamas.

Jurucakap Rumah Putih memaklumkan Presiden Joe Biden telah menghubungi Netanyahu pada lewat Khamis supaya tidak meneruskan kempen serangan ganas ke atas lokasi bersempadan Mesir berkenaan tanpa pelan untuk melindungi keselamatan orang awam.

Komuniti antarabangsa mengutuk keras rancangan zalim rejim Zionis itu memandangkan lebih separuh populasi Gaza yang hilang tempat tinggal kini berlindung di kawasan sesak tersebut yang meliputi kurang 20 peratus daripada saiz asal enklaf tersebut.

“Kami diarahkan untuk ke sana sini tanpa hala tuju dan lokasi terakhir yang didakwa selamat ialah Rafah. Ke mana lagi kami mahu pergi?” ujar Ahlam Abu Assi yang terpaksa berpindah beberapa kali dari Bandar Gaza ke kawasan selatan.

Sejak awal minggu lalu, Britain, Australia, Kanada dan New Zealand juga menggesa rejim Tel Aviv supaya tidak melancarkan operasi di bandar tersebut kerana bimbang dengan skala malapetaka yang lebih dahsyat.

“Israel perlu mendengar saranan sekutunya dan komuniti antarabangsa dan tidak menjadikan nyawa orang awam sebagai taruhan untuk melenyapkan Hamas,” ujar kenyataan bersama negara berkenaan.

Pejabat Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak dalam satu kenyataan menyatakan mereka khuatir dengan impak kempen pencerobohan itu memandangkan penduduk Gaza sedang berdepan bencana kemanusiaan yang semakin teruk. - AFP

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!