Mesir bina tembok konkrit terima penduduk Gaza
KAHERAH - Kerajaan Mesir telah membina 'zon keselamatan terpencil' di timur Gurun Sinai yang bersempadan dengan Genting Gaza yang berfungsi sebagai zon penampan bagi pelarian Palestin jika mereka dipaksa keluar dari Rafah oleh tentera Israel, lapor Middle East Eye
Kumpulan kontraktor tempatan memberitahu kumpulan hak asasi manusia bahawa kerja pembinaan telah diserahkan kepada Sons of Sinai Construction and Building Company, syarikat dimiliki ahli perniagaan Ibrahim al-Arjani.
Ibrahim adalah bekas panglima daripada suku Tarabin di utara Sinai dan juga mempunyai hubungan rapat dengan keluarga Presiden Mesir, Abdel Fatah el-Sisi.
Difahamkan kerja pembinaan itu bertujuan mewujudkan kawasan dikelilingi temboh setinggi tujuh meter dan pembinaannya dijangka siap dalam tempoh 10 hari dan diselia Pihak Berkuasa Kejuruteraan Angkatan Tentera Mesir, dengan dikawal ketat.
"Pagi ini Yayasan Sinai untuk Hak Asasi Manusia memantau pembinaan tembok konkrit setinggi tujuh meter yang bermula dari kampung Goz Abu Waad di selatan bandar Rafah dan menuju ke arah Laut Mediterrean dan selari dengan sempadan Genting Gaza," kata yayasan tersebut.
Pembinaan itu dibuat ketika kebimbangan situasi buruk yang semakin meningkat di Gaza yang menyebabkan lebih 28,000 orang awam maut dan penghijrahan besar-besaran rakyat Palestin ke sempadan Mesir.
Awal bulan ini, wartawan Mesir Ahmed el-Madhoun berkongsi video yang menunjukkan pekerja sedang memperkemaskan tembok keselamatan yang memisahkan Mesir dan Gaza.
Sejak meletusnya konflik Hamas-Israel pada 7 Oktober lalu, terdapat beberapa cadangan Israel dilaporkan dalam media yang memperincikan rancangan mereka untuk menghalau penduduk Palestin Gaza ke Mesir, yang telah ditolak oleh Kaherah. - Agensi
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!