Harga minyak sawit mentah kekal lebih RM3,100 setan
KUALA LUMPUR - Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal dalam aliran menaik daripada RM3,116 setan sekarang ini, walaupun wujud ketegangan baharu dalam geopolitik di Timur Tengah.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Dr Kalyana Sundram berkata, peningkatan ini akan disokong oleh pengurangan dalam pengeluaran minyak sawit Indonesia termasuk lonjakan harga minyak mentah di tengah-tengah ketegangan di Timur Tengah.
"Kita lihat ada trend kenaikan selepas mengambil kira keadaan dalam permintaan dan bekalan, di mana pengeluaran Indonesia tidaklah setinggi seperti yang dijangkakan sebelum ini," katanya.
Kalyana ketika bercakap mengenai kesan harga minyak mentah yang lebih tinggi ke atas MSM, menjelaskan kenaikan seperti itu secara tradisinya akan menyokong harga MSM dan lain-lain minyak yang boleh dimakan.
"Oleh itu, kami amat positif dengan harga MSM semasa, yang mana harga penutup terakhir adalah pada RM3,116 setan," katanya kepada pemberita semasa forum 'We Love Palm Oil' di sini hari ini.
Menurut beliau, harga semasa menggambarkan nilai minyak sawit dalam pasaran sekarang ini.
"Oleh kerana harga sudah melebihi RM3,100, kami berharap ia akan naik tinggi sedikit lagi. Kami fikir ia akan naik lebih jauh sebelum stabil," katanya.
Mengenai laporan bahawa India melarang syarikat penapisnya untuk membeli minyak sawit Malaysia, Kalyana berkata, kerajaan belum melihat respons rasmi daripada Kerajaan India lagi.
"Hanya beberapa persatuan pengimport yang menunjukkan mereka akan melakukan sesuatu, tetapi pembeli di India masih terus membeli (minyak sawit kami)," tambah beliau lagi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!