Calon pengadil Piala Dunia: FAM harap Nazmi kekal prestasi tinggi

Nazmi dipilih untuk menyertai kursus calon pengadil utama Piala Dunia yang bakal diadakan bermula 25 hingga 29 Februari di Qatar. Foto FAM
Nazmi dipilih untuk menyertai kursus calon pengadil utama Piala Dunia yang bakal diadakan bermula 25 hingga 29 Februari di Qatar. Foto FAM
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menaruh harapan agar calon pengadil utama Piala Dunia 2026, Muhammad Nazmi Nasaruddin terus menampilkan prestasi tinggi ketika mengadili perlawanan peringkat antarabangsa selepas ini.

Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, Muhammad Nazmi perlu mengekalkan tahap kualiti tinggi ketika menghadiri kursus ‘Calon PIala Dunia FIFA 2026’ di Qatar pada 25 hingga 29 Februari ini bagi membuka ruang buat pengadil tempatan tersebut dipilih mengadili perlawanan Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Sivasundaram, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, turut berharap agar dua lagi pembantu pengadil, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid dapat menemani Muhammad Nazmi sekiranya terpilih ke Piala Dunia 2026.

"Kami di FAM, terutama Presiden, Datuk Hamidin Haji Mohd Amin telah memberi segala bantuan kepada anda semua dan akan terus memberi sokongan kepada anda bertiga.

"Ini adalah satu permulaan yang amat baik kerana dipilih sebagai calon pengadil Piala Dunia 2026 dan diharap Nazmi, Zairul dan Arif Shamil akan berjaya terpilih sebagai trio pengadil dari Malaysia ke Piala Dunia 2026 nanti," katanya di laman Facebook FAM pada Jumaat.

Prestasi cemerlang Muhammad Nazmi, Mohamad Zairul dan Mohd Arif Shamil pada kempen Piala Asia 2023 di Qatar, baru-baru ini telah mendapat pengiktirafan daripada FIFA dan AFC sekali gus membolehkan Muhammad Nazmi dipilih secara merit sebagai salah seorang daripada calon pengadil Piala Dunia 2026.

Piala Dunia 2026 dijadual berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai 2026. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!