Kelegaan Zii Jia
PEMAIN perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menyifatkan penyelesaian secara baik kesnya di luar mahkamah dengan bekas jurulatih, Indra Wijaya sebagai satu langkah yang amat positif.
Malah pemain berusia 25 tahun itu juga tidak dapat menyembunyikan rasa lega kerana kedua-dua pihak boleh bergerak ke depan dan berjaya dalam karier masing-masing.
Zii Jia berkata, secara jujur dia tidak mengikuti secara rapat perkembangan kes tersebut kerana menyerahkan perkara berkenaan kepada kakaknya, Lee Zii Yii dan pihak peguam.
“Berkaitan kes ini secara jujur saya tidak buat susulan kerana ia diuruskan oleh kakak dan peguam. Apapun ia amat positif dan kita boleh terus ke depan.
“Saya pun berasa lega. Buat kedua-dua pihak, lakukan yang terbaik,” katanya.
Sukan Sinar pada Jumaat melaporkan pertikaian undang-undang antara pemain yang menghuni ranking ke-10 dunia dan jurulatih dari Indonesia itu tidak akan diteruskan selepas kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes mereka di luar mahkamah.
Justeru Zii Jia melihat penyelesaian secara damai kes tersebut membolehkan dia dan team LZJ memberi fokus kepada misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Selain ini (Kejohanan Badminton Berpasukan Asia) ada beberapa lagi kejohanan penting untuk meraih mata Sukan Olimpik,” katanya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pihak peguam Indra mengesahkan bahawa persefahaman bersama dicapai melalui surat-menyurat antara peguam kedua-dua pihak.
Surat berkenaan bertarikh 6 Februari oleh Tetuan Law Partnership (bertindak bagi pihak LZJ Management Sdn Bhd) dan 14 Februari oleh Tetuan Wan Ahmad Ridzuan & Co (bertindak bagi pihak Indra Wijaya).
Mac tahun lalu, pertelagahan antara kedua-dua pihak gagal menemui jalan penyelesaian apabila Indra memutuskan untuk membawa kes tersebut ke Mahkamah Perusahaan.
Pada 27 November 2022, Indra mengesahkan berpisah dengan Zii Jia selepas sembilan bulan menjadi jurulatih pemain yang berasal dari Kedah itu.
Susulan perpisahan tersebut, Indra dilaporkan mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas Zii Jia atas dakwaan pelanggaran kontraknya sebagai jurulatih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!