Dana SRC: Najib disoal dakwaan tandatangan palsu
KUALA LUMPUR - Pendakwaan dalam perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan dana SRC International, hari ini menyoal bekas perdana menteri itu mengenai siapa yang berani memalsukan tandatangannya ketika beliau memegang jawatan nombor satu negara.
Terkejut dengan pertanyaan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V. Sithambaram, Najib, 67, pada mulanya menjawab, "Itu bukan soalan yang adil" sebelum berkata, "Saya tidak tahu" mengenai siapa yang berani memalsukan tandatangannya semasa beliau memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Tandatangan yang dimaksudkan itu terdapat pada dokumen berkaitan permohonan pinjaman SRC International Sdn Bhd kepada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).
Sithambaram: Sebagai (ketika itu) perdana menteri dan menteri kewangan, orang yang paling berkuasa (dalam negara), siapa yang akan memalsukan tandatangan kamu?
Najib: Ini bukan soalan yang adil.
Sithambaram: Soalan ini adil. Soalan ini mudah. Kamu seorang yang berkuasa. Ini SRC, (syarikat) berkaitan kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan dan kamu sentiasa menyatakan yang tandatangan kamu dipalsukan. Siapa yang berani melakukannya?
Najib: Bekas Pengarah SRC Datuk Suboh Md Yassin juga berkata tandatangannya dipalsukan.
Sithambaram: Itu bukan soalannya. Saya tanya kamu (memandangkan) kamu menyatakan tandatangan kamu dimanipulasi dan dipalsukan. Saya mahu tahu siapa yang melakukannya, dalam syarikat berkaitan kerajaan.
Najib: Saya tidak tahu.
Sithambaram: Datuk Seri, sekarang kamu katakan yang Ahli Lembaga Pengarah SRC bertindak berdasarkan dokumen yang dipalsukan.
Najib: Ya.
Sithambaram: Apabila kamu ditunjukkan salinan (dokumen SRC oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia semasa siasatan) ... kamu tidak meminta salinan asal kerana kamu tahu itu adalah tandatangan kamu.
Najib: Saya tidak bersetuju.
Terdahulu, keterangan mengenai kertas kabinet berkaitan permohonan pinjaman SRC yang disediakan untuk pembentangan kepada mesyuarat Jemaah Menteri dibangkitkan.
Kertas itu disediakan oleh Timbalan Setiausaha di Jabatan Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Afidah Azwa Abdul Aziz yang merupakan saksi pendakwaan.
Sithambaram: Afidah memberi keterangan bahawa beliau ditekan untuk melengkapkan kertas kabinet dalam masa yang singkat. Berikutan tekanan berkenaan, beliau melaporkannya kepada bekas penyelianya, Maliami Hamad yang, sebagai respons, memberitahunya bahawa ia adalah "perintah dari atas" dan itu "syarikat PM".
Najib: Saya tidak bersetuju.
Najib juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mengetahui kesukaran yang dihadapi Kementerian Kewangan untuk mendapatkan maklumat daripada SRC International bagi penyediaan kertas kabinet bagi jaminan kerajaan.
"Saya menganggap mereka mesti mempunyai maklumat yang cukup untuk menyediakan kertas kabinet. Jika mereka tidak mempunyai maklumat yang mencukupi, ketua perbendaharaan mesti memberitahu saya, " kata Najib.
Sebagai respons kepada jawapan itu, Sithambaram berkata, Najib telah menyalahkan orang lain dalam kes ini, tetapi bekas perdana menteri itu tidak bersetuju.
Najib kini membela diri terhadap tujuh tuduhan menyalah guna RM42 juta dana SRC International, yang terdiri daripada tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu salah guna kedudukan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!