Isu kepulauan Natuna: Tuntutan China tidak masuk akal
TUNTUTAN China ke atas keseluruhan wilayah maritim yang dipanggil Nine Dash Line di perairan Laut China Selatan tidak boleh sekadar bersandarkan sejarah lampau tetapi perlu disokong oleh bukti kukuh.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, China yang merupakan antara negara besar yang memegang kuasa ekonomi dunia tidak boleh hanya mengambil kira kedudukannya pada masa dahulu untuk diperjuangkan dalam konteks moden hari ini.
Beliau berkata, apa yang cuba dituntut China adalah satu bentuk tuntutan yang tidak masuk akal dan tidak berasaskan Undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Undang-Undang Laut Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).
Menurutnya, di bawah UNCLOS, tuntutan yang hendak dilakukan sama ada oleh China atau negara Asean lain yang terlibat dengan konflik di perairan Laut China Selatan perlulah berada dalam lingkungan jarak 12 batu nautika, manakala bagi penerokaan boleh dituntut sehingga jarak 200 batu nautika dari garis pangkal pantai sesebuah negara itu mengikut zon ekonomi eksklusif (EEZ) dan pelantar benua (bawah laut).
“China seperti kita tahu bukan saja buat tuntutan berdasarkan sejarah dan kemudian membentuk Nine Dash Line, di mana garis tuntutan itu ditarik dari China ke wilayah China Selatan turun ke Pulau Natuna, naik ke kepulauan Spratly, masuk ke kepulauan Paracel hingga ke keseluruhan Laut China Selatan. Itu adalah salah,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
ARTIKEL BERKAITAN: Selesai ketegangan di kepulauan Natuna secara diplomasi: Abdul Hadi
Dalam pada itu, Azizuddin berkata, berbeza dengan Malaysia yang pernah membuat tuntutan atas faktor sejarah ke atas Pulau Layang-Layang di Kepulauan Spratly dan akhirnya menang.
“Tuntutan itu berkaitan dengan sejarah tetapi turut disokong bukti-bukti kukuh yang mengatakan kita (Malaysia) memang menduduki dan mentadbir Pulau Layang-Layang.
“Tetapi China tiada bukti mereka mentadbir pulau yang dituntut,” katanya.
Ketika mengulas berhubung penyelesaian secara menang-menang yang boleh diambil ke atas konflik yang timbul susulan tuntutan China yang semakin aktif sejak kebelakangan ini sehingga menimbulkan ketegangan negara-negara terlibat termasuk Malaysia, Azizuddin berkata, cara terbaik adalah perlu ada kesepakatan suara antara kesemua negara terlibat untuk memberi tekanan kepada China.
Menurutnya, tekanan ke atas China bertujuan agar negara itu menguatkuasakan kod tingkah laku di kawasan-kawasan Laut China Selatan agar tidak berlaku apa-apa insiden yang boleh mencetuskan konflik.
“Apa yang penting ketika ini, ia harus diselesaikan secara aman dengan China dan kalau ada persetujuan, boleh buat penerokaan bersama dan hasil kawasan seperti perikanan, minyak atau gas boleh dikongsi bersama dengan semua negara yang menuntut.
“Jika tidak, kes ini boleh dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa bagi mencari penyelesaian siapa yang layak untuk menguasai pulau-pulau di situ dan mahkamah ini boleh membuat keputusan. Cuma cara ini sukar dilaksanakan, China pasti menolak kerana mereka tiada bukti kukuh serta pasti kalah jika kes dibawa ke mahkamah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!