Melaka kekal status negeri tawar harga rumah terendah

Melaka masih mengekalkan status negeri menawarkan harga rumah terendah di Malaysia pada harga purata RM207,600 berbanding RM458,751 di peringkat nasional hingga suku ketiga tahun lepas berdasarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).Gambar hiasan
Melaka masih mengekalkan status negeri menawarkan harga rumah terendah di Malaysia pada harga purata RM207,600 berbanding RM458,751 di peringkat nasional hingga suku ketiga tahun lepas berdasarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Melaka masih mengekalkan status negeri menawarkan harga rumah terendah di Malaysia pada harga purata RM207,600 berbanding RM458,751 di peringkat nasional hingga suku ketiga tahun lepas berdasarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, ini sekali gus merekodkan peratusan pemilikan rumah di negeri itu sebanyak 84.5 peratus, lebih tinggi daripada peratus pemilikan rumah di peringkat nasional iaitu 76.5 peratus.

"Pencapaian ini dipengaruhi oleh dasar perumahan kerajaan negeri yang menetapkan setiap pembangunan perumahan melebihi 10 ekar (kira-kira 4 hektar) perlu membina sekurang-kurangnya 50 peratus komponen rumah mampu milik (RMM).

"Komponen RMM berkenaan meliputi rumah kos rendah pada harga RM70,000, rumah kos sederhana rendah (RM120,000), RMM Impian A tidak melebihi RM180,000 dan RMM B tidak melebihi RM250,000," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo RMM Melaka 2024 yang turut dihadiri Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Husam Musa dan Pengerusi Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Datuk Murad Husin.

Mengulas lanjut, Rais berkata, peratus pemilikan rumah di negeri itu dijangka terus meningkat hingga 88 peratus menjelang 2030, dengan sekurang-kurangnya 4,191 rumah perlu dibina dalam tempoh setahun.

Beliau berkata, hingga 31 Disember lepas juga, LPM merekodkan pembangunan sebanyak 48,966 RMM di seluruh negeri itu dengan kerjasama pemaju swasta dan kerajaan Persekutuan bagi tempoh lima tahun akan datang bermula 2020.

"Berdasarkan jumlah itu, sebanyak 36,898 RMM telah dibangunkan agensi kerajaan negeri dan pihak swasta, manakala 12,068 RMM pula dibangunkan agensi kerajaan Persekutuan seperti Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA), SPNB, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan Jabatan Perumahan Negara (JPN).

Artikel Berkaitan:

"Bukan itu sahaja, daripada jumlah tersebut sebanyak 12,464 RMM siap dibina manakala 18,509 RMM sedang dalam pembinaan dan 17,993 RMM telah mendapat kelulusan serta dalam peringkat perancangan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Melaka hanya mencatatkan sebanyak 551 kediaman yang siap dibina tetapi tidak terjual dengan nilai RM283.9 juta dan angka itu jauh lebih rendah berbanding negeri lain seperti di Selangor, Johor dan Pulau Pinang.

Menurutnya, sebahagian besar kediaman tidak terjual itu merupakan jenis kondominium dan apartmen yang berharga melebihi RM300,000 seunit.

Terdahulu, katanya, Ekspo RMM Melaka 2024 yang berlangsung tiga hari bermula hari ini menyasarkan untuk menjual kira-kira 50 peratus daripada 7,368 unit RMM yang ditawarkan dan diskaun hingga RM30,000 terutama bagi rumah belia. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!