Pemuda Amanah Perak tampil lebih ramai muka baharu

Khairol Najib (duduk, tengah) mengumumkan barisan Ahli Jawatankuasa Pemuda Amanah Perak di Wisma Amanah Perak di sini pada Sabtu.
Khairol Najib (duduk, tengah) mengumumkan barisan Ahli Jawatankuasa Pemuda Amanah Perak di Wisma Amanah Perak di sini pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Barisan Ahli Jawatankuasa Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak bagi sesi 2023-2026 menampilkan lebih ramai muka baharu.

Meskipun Ketua Pemudanya, Khairol Najib Hashim mengekalkan jawatan tersebut dua penggal berturut-turut, jawatan-jawatan lain menyaksikan beberapa perubahan terutama bagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda Amanah negeri dan tiga naib ketua.

Ahmad Munzirie Ahmad Kabir yang sebelum ini sebagai Naib Ketua Pemuda 1 dilantik sebagai Timbalan Ketua Pemuda Amanah Perak sekali gus bertukar jawatan dengan Ahmad Shafiq Ahmad Ariffin yang mengambil tempat sebagai Naib Ketua Pemuda 1.

Muka baharu ditampilkan bagi jawatan Naib Ketua Pemuda 2 dan 3 apabila masing-masing disandang Zairul Paizol Zakaria dan Syahrunnaim Salehuddin.

Bagi jawatan Setiausaha pula diberikan kepada Mohamad Zuhaili Md Zaini manakala bendahari disandang Shahril Shazari.

Khairol Najib berkata, hampir separuh ahli jawatankuasa bagi sesi kali ini merupakan muka baharu namun mereka telah lama berkhidmat di peringkat kawasan.

"Barisan kepimpinan kali ini menampilkan kelainan melibatkan kombinasi muka lama dan baharu. Fokus kita selepas ini adalah untuk membina kesepaduan dalam organisasi selain menjadi jurubicara Kerajaan Perpaduan bagi menyampaikan agenda Perak Sejahtera 2030 dan Malaysia Madani ke peringkat akar umbi.

"Kami juga akan memberi penerangan kepada masyarakat tentang bahayanya fahaman ekstrem dan 'ghuluw' yang melampau. Apa sahaja usaha untuk merosakkan pemikiran anak muda, menggunakan sentimen agama, perkauman dan fitnah kita akan tegas melawan perkara ini," katanya kepada pemberita di Wisma Amanah Perak di sini pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Khairol Najib berkata, semua pemimpin muda Amanah kawasan akan mengadakan pertemuan mesra bersama-sama pimpinan sayap pemuda parti-parti kerajaan di peringkat kawasan masing-masing.

Katanya, sesi tersebut penting untuk berkenalan dan mencipta hubungan sebelum membentuk kerjasama lebih erat menerusi program-program bersama yang akan dirancang.

Sementara itu, beliau sedang berusaha untuk menambah lebih ramai lantikan politik melibatkan Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memposisikan suara belia di dalam kerajaan.

Katanya, pada sesi lepas seramai sembilan pemimpin Pemuda Amanah Perak yang dilantik menjadi Ahli Majlis di beberapa PBT di negeri ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!