Think Quran: Belajar al-Quran dengan empat bahasa
SHAH ALAM - Umat Islam berpeluang belajar dan memahami kosa kata al-Quran dengan empat bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Indonesia dan Turkiye melalui aplikasi Think Quran.
Pengguna aplikasi Think Quran, Amirul Fahim Amir, 28, berkata, kepelbagaian bahasa itu jelas menunjukkan Think Quran bukan sahaja memfokuskan umat Islam di Malaysia tetapi juga untuk warganegara lain seperti Indonesia dan Turkiye.
"Aplikasi ini telah membuka ruang yang lebih luas untuk orang Islam di negara lain juga untuk belajar fahami bahasa al-Quran.
Aplikasi Think Quran dibangunkan oleh Think Osem Sdn Bhd itu turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Karya Bestari bagi menganjurkan kempen #FahamKhatamAlQuran.
Aplikasi tersebut menawarkan kaedah mudah fahami bahasa al-Quran melalui penguasaan kosa kata meliputi keseluruhan al-Quran.
Amirul Fahmi memberitahu, bahagian yang paling disukai dalam aplikasi Think Quran itu adalah ruangan latihan kerana dapat menentukan tahap kemahiran pengguna.
"Kita boleh tahu sama ada berada di tahap lemah, bagus atau mahir. Caranya adalah dengan kerap melakukan latihan, kalau boleh setiap hari, semakin lama semakin susah.
"Setiap hari saya akan curi masa 20 hingga 25 minit untuk menggunakan aplikasi Think Quran dan alhamdulillah sekarang mahir lebih 700 perkataan, saya suka ulang-ulang," ujarnya.
Katanya, walaupun pandai Bahasa Arab namun dia masih tidak faham kandungan al-Quran.
"Saya belajar Arab sejak tingkatan satu hingga universiti, namun ia tidak memberi jaminan yang kita akan faham al-Quran kerana bahasa digunakan adalah tahap tinggi.
“Alhamdulillah, setelah menggunakan aplikasi ini saya sekarang dapat tangkap maksud ayat al-Quran itu tentang apa,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!