KPF jamin tunggakan penebusan syer anggota selesai akhir Mac ini

Raja Rafidah (tengah) ketika menyampaikan taklimat kepada anggots KPF pada Jumaat
Raja Rafidah (tengah) ketika menyampaikan taklimat kepada anggots KPF pada Jumaat
A
A
A

SHAH ALAM - Koperasi Permodalan Felda (KPF) memberi jaminan permohonan penebusan syer anggota bernilai RM22.9 juta yang tertangguh sejak Februari hingga Ogos 2023 akan diselesaikan pada akhir Mac ini.

Pengerusinya, Raja Faridah Raja Ahmad berkata, pihak koperasi memahami kegelisahan anggota terhadap simpanan pelaburan dan isu tunggakan penebusan syer mereka.

“Justeru, permohonan bagi tempoh selanjutnya akan dibayar secara berkala mengikut sistem penggiliran dan ketersediaan tunai.

"Tetapi, keutamaan akan diberikan kepada permohonan yang mempunyai bukti sokongan seperti urusan haji, sakit kritikal atau lain-lain urusan yang munasabah mengikut kelulusan lembaga," katanya ketika memberikan taklimat kepada anggota yang hadir di ibu pejabat KPF pada Jumaat.

Sebelum ini, beberapa anggota telah hadir ke pejabat KPF untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak koperasi mengenai kelewatan bayaran penebusan jualan saham dan dividen.

Mohamad Rosli ketika sidang akhbar di hadapan pejabat KPF pada Jumaat.
Mohamad Rosli ketika sidang akhbar di hadapan pejabat KPF pada Jumaat.

Tindakan itu dibuat apabila masalah tersebut masih berlarutan sejak Julai 2023 dan tiada sebarang jalan penyelesaian diambil walaupun pelbagai aduan serta rungutan dilakukan.

Dalam pada itu, Ketua Ahli KPF, Mohamad Rosli Waakob berkata, perkhidmatan talian telefon dan aplikasi WhatsApp yang disediakan pihak KPF sangat mengecewakan kerana panggilan tidak dijawab serta mengambil masa berbulan untuk dibalas.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, situasi tersebut menunjukkan seolah-olah pihak tertinggi koperasi bagaikan mengambil sikap membisu dan gagal mengambil langkah proaktif untuk mengatasi kebimbangan anggota.

Bagaimanapun, beliau berharap tunggakan tersebut diselesaikan segera agar dapat membantu meringankan beban anggota.

“Anggota lain diminta bersabar dan menunggu giliran permohonan dengan hati terbuka,” ujarnya.

Sementara itu, Raja Faridah berkata, agihan dividen bernilai RM108 juta telah dibayar sepenuhnya seperti mana yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Ke-42 pada 22 Jun tahun lalu.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!