Pekerja pembinaan jumpa 50 kubur Empayar Rom
LONDON - Sekumpulan pekerja pembinaan sebuah sekolah di Somerset dilaporkan menemui 50 kubur Empayar Rom paling awal pernah ditemui di Britain.
Menurut ahli arkeologi, penemuan di Somerton berhampiran bandar Glastonbury, dekat barat daya England itu secara tidak langsung memberi maklumat tentang kehidupan dan kematian di Britain selepas pencerobohan Rom.
Sesetengah orang yang dikebumikan di tanah perkuburan Rom-Britain adalah jelas berstatus tinggi di mana kepala salah satu tengkorak wanita diletakkan di atas bantal.
Ahli arkeologi, Steve Membery berkata, ia adalah penemuan penting dan penggalian moden perkuburan Rom paling komprehensif di Somerset.
"Penggunaan teknologi termasuk dron dan teknik seperti isotop serta analisis DNA purba menawarkan peluang untuk mengetahui tentang kehidupan penduduk Rom Somerton," katanya.
Difahamkan, kerja-kerja di sekolah berkenaan akan disambung semula selepas ia dihentikan sementara susulan penemuan arkeologi bulan ini.
Sementara itu, Ahli Majlis Somerset yang juga anggota Kabinet untuk Pendidikan dan Transformasi, Faye Purbrick menyifatkan penemuan itu memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang sejarah awal bandar tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!