Stesen Masjid Jamek, Bandaraya dibuka semula, sasar 200,000 pengguna
SHAH ALAM - Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) menyasarkan purata penggunaan harian bertambah sehingga 200,000 menjelang penghujung 2024 berbanding 155,000 sepanjang penutupan laluan Transit Aliran Ringan (LRT) di Stesen Masjid Jamek dan Bandaraya.
Rapid Rail dalam satu kenyataan berkata, ia susulan pembukaan semula laluan tersebut pada jam 6 pagi Sabtu.
“Kekerapan tren pada waktu puncak kembali normal iaitu masa menunggu tiga minit bagi Daerah Pusat Perniagaan (CBD) dan enam minit di luar CBD (non-CBD) dengan pengoperasian 37 tren.
“Laluan di antara Stesen Masjid Jamek dan Bandaraya telah ditutup sejak 27 Januari 2023 atas faktor keselamatan akibat kerosakan struktur jejambat serta landasan berhampiran.
“Kerja-kerja membaik pulih kerosakan telah dimulakan pada 17 Mac tahun lalu melibatkan dua fasa merangkumi kerja-kerja menyokong jejambat di P163, P164 dan P165 serta mengembalikan struktur ini ke kedudukan asal,” katanya pada Sabtu.
Menurut kenyataan itu, proses membaik pulih selesai sepenuhnya pada 30 Disember 2023 dan pemeriksaan serta pengesahan telah dilakukan oleh pihak jurutera perunding.
“Sebagai mematuhi piawaian operasi serta memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan sistem rel, beberapa siri ujian dan pemantauan menyeluruh dilaksana bermula 1 Januari 2024 hingga semalam.
“Pembukaan semula laluan ini dibuat setelah mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berdasarkan penilaian dan pemeriksaan yang dijalankan.
“Dengan pembukaan semula laluan ini, Rapid Rail berharap pergerakan penumpang dipermudahkan, jumlah penumpang dapat dipertingkatkan dan aktiviti ekonomi di sekitar laluan tersebut kembali rancak,” ujarnya.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!