Motif suspek bakar kereta polis bantuan masih dalam siasatan
PETALING JAYA - Tahanan reman selama empat hari dikenakan ke atas seorang lelaki pekerja p-hailing kerana dipercayai membakar kereta polis bantuan di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Mutiara Damansara, dekat sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abdul Hamid berkata, tahanan reman ke atas lelaki tersebut diperoleh sehingga Isnin.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan pihak polis bagi mengetahui punca sebenar lelaki berusia 25 tahun itu bertindak agresif sehingga membakar kereta polis bantuan.
"Kita masih menjalankan siasatan lanjut ke atas suspek yang ditangkap.
"Polis ingin mengetahui motif sebenar suspek membakar kereta polis bantuan dan melakukan vandalism di stesen MRT," katanya yang dihubungi pada Sabtu.
Suspek yang masih bujang ditahan polis kerana disyaki membakar kereta polis bantuan, setelah satu laporan diterima daripada orang ramai jam 1.42 pagi pada Khamis.
Siasatan awal dijalankan, polis mendapati suspek bekerja sebagai penghantar makanan selama lebih kurang tiga tahun.
Ekoran kejadian perbuatan khianat itu, suspek telah ditahan di Damansara, dekat sini, pada jam 10 pagi Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!