Pemandu lori 'kantoi' cuba seleweng diesel bersubsidi

Lori bonded tiga tan yang ditahan kerana disyaki digunakan dalam kegiatan seleweng minyak diesel bersubsidi. Tangki minyak tambahan ditemui di bahagian muatan lori yang ditahan
Lori bonded tiga tan yang ditahan kerana disyaki digunakan dalam kegiatan seleweng minyak diesel bersubsidi. Tangki minyak tambahan ditemui di bahagian muatan lori yang ditahan
A
A
A

KUANTAN - Tindakan agresif seorang lelaki memecut lori dipandu meninggalkan sebuah stesen minyak di Jalan Kuantan-Sungai Lembing di sini dengan pam masih berada pada tangki membongkar satu kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di daerah ini pada Jumaat.

Tindakan itu berjaya digagalkan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang apabila lori terbabit berjaya ditahan bersama pemandu berusia dalam lingkungan 30-an.

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin berkata, pemeriksaan ke atas lori jenis 'bonded' tiga tan itu menemui sebuah tangki keluli tambahan yang bersambung dengan tangki asal disyaki digunakan dalam aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

Menurutnya, anggaran 1,500 liter minyak diesel yang berada dalam tangki terbabit telah disita kerana barang kawalan itu disyaki dimiliki tanpa permit kebenaran daripada pengawal bekalan.

"Turut disita lori bersama tangki tambahan untuk tujuan siasatan dan nilai keseluruhan rampasan lebih RM61,700.

Suspek nekad memecut lori dipandu meninggalkan sebuah stesen minyak di Jalan Kuantan -Sungai Lembing di sini dengan nozel pam masih berada pada tangki minyak.
Suspek nekad memecut lori dipandu meninggalkan sebuah stesen minyak di Jalan Kuantan -Sungai Lembing di sini dengan nozel pam masih berada pada tangki minyak.

"Kes di siasat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 manakala pemandu lori ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut," katanya.

Jezlily berkata, kejayaan tangkapan dan rampasan itu hasil operasi Ops Tiris yang dilakukan pasukan penguat kuasa KPDN Pahang di sepanjang Jalan Kuantan Sungai Lembing di sini.

Artikel Berkaitan:

"Melalui rondaan dilakukan, pihak penguat kuasa terserempak dengan seorang lelaki sedang mengisi minyak lorinya di sebuah stesen minyak dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika anggota penguat kuasa menghampiri lori berkenaan untuk tujuan pemeriksaan, secara tiba-tiba pemandunya telah bertindak agresif dengan bertindak memecut meninggalkan stesen minyak dalam keadaan pam masih berada pada tangki.

"Lelaki terbabit hanya sempat lari sejauh hampir 500 meter sebelum berjaya ditahan.

"Suspek nekad bertindak keluar dari lori dan cuba melarikan diri sebelum berjaya ditangkap di hadapan lot kedai berhampiran oleh anggota penguat kuasa," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!