Harga tiket penerbangan Kota Kinabalu-Kuala Lumpur 'cekik darah' - Aliakbar
KOTA KINABALU - Sudah tiba masanya kerajaan harus campur tangan dan bertindak lebih serius dalam mengawal harga tiket penerbangan di Sabah yang terlalu mahal serta membebankan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik Sabah, Dr Aliakbar Gulasan menyifatkan harga tiket penerbangan ketika ini seperti 'cekik darah' dan menzalimi serta menindas rakyat.
"Sebagai contoh tiket penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur telah mencecah lebih RM1,000 sehala pada satu-satu masa.
"Situasi seperti musim perayaan, cuti sekolah dan universiti tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menaikkan harga tiket. Pemegang taruh tidak seharusnya memikirkan keuntungan dan pulangan komersial semata-mata," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Sabah menggesa syarikat penerbangan supaya tidak mengambil kesempatan pada musim perayaan dan cuti sekolah.
"Kerana pada waktu inilah rakyat pulang untuk menziarahi keluarga dan kunjung-mengunjung mengeratkan silaturahim.
"Jangan disebabkan tiket mahal, ramai pelajar tidak dapat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing dan kebajikan rakyat mesti menjadi keutamaan dalam menentukan harga tiket penerbangan," tegasnya.
Beliau juga berharap syarikat penerbangan perlu bertimbang rasa dan tidak mengambil kesempatan atas sebab yang tidak munasabah.
"Kerajaan juga sewajarnya bertindak menangani isu yang membelenggu sekali gus memikirkan kebajikan rakyat, sesuai dengan slogan dan prinsip Malaysia Madani iaitu kesejahteraan dan ihsan.
"Harga tiket hendaklah dikawal dan dipantau sepanjang tahun kerana banyak pihak yang perlu menggunakan penerbangan sebagai kaedah penting seperti urusan pekerjaan dan pendidikan.
"Harga mampu milik akan memudahkan banyak urusan kerja, menggembirakan rakyat serta menggalakkan pelancongan dalam negeri," katanya.
Sehubungan itu, Aliakbar berkata, kerajaan dan pemegang taruh mesti bersama-sama menyelesaikan isu harga tiket penerbangan antara Sabah dan Semenanjung.
"Usah mendiskriminasi serta mengambil kesempatan lebih-lebih lagi dalam krisis dan kegawatan ekonomi pada masa ini," tegasnya.
Isu tiket penerbangan yang mahal sebelum itu telah disuarakan menerusi laman sosial Facebook miliknya beberapa hari lalu dengan berkongsikan tangkap layar harga tiket yang melebihi RM1,000 bagi perjalanan Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur.
Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!