Tragedi 'skateboard': Jenazah Mohammad Farhan selamat dikebumi
KUANTAN - Jenazah Mohammad Farhan Fudhail Mohd Farid, 16, yang meninggal dunia selepas terlanggar tiang ketika bermain papan selaju di Townsville, Queensland, Australia, hujung bulan lalu, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Hutan Setali di sini, kira-kira jam 12.50 pagi tadi.
Jenazah tiba di pekarangan tanah perkuburan kira-kira jam 11.45 malam diiringi kariah Masjid Medan Tok Sira termasuk ahli keluarga dan waris terdekat serta penduduk.
Mohammad Farhan dikebumikan berdekatan kubur arwah datuknya, Mohd Arif Abdullah Russell Machen, 63, yang meninggal dunia pada awal November lalu.
Difahamkan jenazah menaiki penerbangan dari Townsville ke Brisbane pada 6 Januari sebelum diterbangkan dari Brisbane ke Kuala Lumpur dan tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 4.05, petang tadi.
Terdahulu, Mohammad Farhan dilaporkan pulang ke kampungnya di negara Kanggaru itu bagi meluangkan masa di rumah ibunya Fhurzanatul Natasha Md Sazali, 32, yang bermastautin di sana sejak beberapa tahun lalu.
Mohammad Farhan berangkat ke sana bersama ibu saudaranya, Farhanatul Nadia Md Sazali, 33, dan dua sepupunya; Hanna Humaira, 3, dan Maryam Malika, setahun setengah, serta adiknya, Farranazatul Fiqa Mohd Farid, 15, pada 21 Disember lalu.
ARTIKEL BERKAITAN Remaja Malaysia maut ketika main 'skateboard' di Australia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!